Kanak-kanak mangsa seks online - Utusan Malaysia

Kanak-kanak mangsa seks online

Pelaburan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gangguan seksual dalam talian melibatkan kanak-kanak dan remaja berusia 18 tahun dan ke bawah terus meningkat apabila sebanyak 1,464 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu berbanding hanya 1,273 kes pada tahun 2021.

Pelaku mencari mangsa-mangsanya menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti WhatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, OMi, Lilmatch dan PUBG.

Trend jenayah tersebut membimbangkan apabila dalam tempoh lima tahun iaitu 2018 hingga 2022 sebanyak 5,727 kes jenayah seksual yang berpunca daripada media sosial membabitkan mangsa bawah 18 tahun direkodkan PDRM.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan statistik 5, 727 kes tersebut, secara purata sehari tiga kanak-kanak atau remaja menjadi mangsa pelaku gila seks dalam talian.

“Tahun lalu PDRM merokodkan peningkatan 46 peratus kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak apabila menerima 1,464 kes berbanding dengan hanya 786 kes tahun 2018.

“Pada tahun 2021 pula sebanyak 1,273 kes, tahun 2020 (1,277 kes), 2019 hanya 927 kes,” kata beliau.

Kata beliau, gangguan seksual paling tinggi direkodkan membabitkan perlakuan amang seksual secara fizikal iaitu dengan 4,440 kes diikuti amang seksual bukan fizikal (189 kes) dan mengakses ponografi kanak-kanak (67 kes) serta lain-lain kesalahan seksual (132 kes).

SEKSUAL

Siti Kamsiah berkata, kebanyakan kes jenayah seksual yang direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu berpunca daripada pendedahan di media sosial.

“Platform-platform media sosial digunakan sebagai medium perkenalan sebelum melakukan kesalahan seksual ataupun medium tersebut digunakan secara langsung untuk melakukan kesalahan penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak ataupun melakukan kesalahan ‘sextortion’.

“Bagi kesalahan amang seksual secara fizikal, suspek akan mendekati mangsa dengan berkenalan secara online, kemudian mula menjerat mangsa sehingga mangsa percaya mereka adalah pasangan kekasih sebelum berjumpa secara berdepan dan seterusnya berlaku perbuatan berunsur seksual dengan memegang atau meraba tubuh badan mangsa serta melakukan hubungan seksual.

“Amang seksual bukan secara fizikal juga turut melibatkan perkenalan melalui media sosial atau aplikasi atas talian yang mana mangsa kebanyakannya di ‘grooming’ suspek dengan memulakan komunikasi secara seksual yang berterusan sehingga kanak-kanak mula tertarik, terpengaruh serta percaya kepada suspek sehingga sanggup beraksi secara seksual seperti berbogel sambil beraksi ghairah.

“ Perlakuan mangsa-mangsa itu dirakam kemudian dijadikan senjata untuk mengugut mangsa agar terus berkomunikasi secara seksual dengan mereka,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

DIUGUT

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, kebelakangan ini terdapat kes mangsa diugut untuk menyebarkan video atau gambar lucah mereka sekiranya enggan menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.

“Selain kanak-kanak, terdapat juga orang dewasa yang menjadi mangsa dan terpedaya dengan kata-kata manis suspek sehingga sanggup beraksi bogel dan berunsur seksual semasa berkomunikasi dengan suspek,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 5,966 kanak-kanak dilaporkan menjadi mangsa seksual dalam tempoh sama dengan 5,115 mangsa adalah perempuan manakala 851 lagi lelaki.

Kata beliau, golongan yang paling tinggi menjadi mangsa adalah kanak-kanak berusia 13 sehingga 15 tahun dengan 2,167 orang diikuti 10 hingga 12 tahun (1,197 orang) ; 16 hingga 18 tahun (1,146 orang) ; enam hingga sembilan tahun (983 orang) dan bawah enam tahun (473 orang).

“Jenayah seksual ini berlaku disebabkan wujud peluang untuk melakukan perbuatan terbabit dengan kemudahan teknologi yang disalah guna. Keadaan menjadi tidak terkawal apabila digabung dengan faktor lain membabitkan mangsa itu sendiri, pelaku dan persekitaran.

“Sebagai contoh, kebanyakan kes seksual membabitkan kanak-kanak atau remaja bermula dengan interaksi di media sosial dengan pelaku (suspek) yang baru sahaja dikenali. Hasil interaksi itu, mangsa mula mendedahkan imej mereka tanpa menyedari bahaya kesan daripada tindakan itu,” ujarnya.

Kata beliau, masih ramai individu tidak memandang serius risiko serta bahaya yang boleh mengundang kepada aktiviti seksual terhadap golongan kanak-kanak serta remaja di media sosial.

DIPERDAYA

Katanya, usia muda dan mudah diperdaya dengan kata-kata cinta menyebabkan golongan remaja menjadi mangsa golongan penjenayah pedofilia atau perkongsian tidak senonoh di media sosial.

“Keadaan diburukkan lagi apabila ada ibu bapa sendiri memuat naik gambar atau video anak-anak tanpa tapisan kerana merasakan apa yang dilakukan adalah hak peribadinya.

“Senario ini akan mendedahkan anak-anak kepada pelaku termasuk pedofilia yang sentiasa mencari peluang melalui internet untuk mensasarkan kanak-kanak sebagai mangsa untuk melampiaskan nafsu di alam maya dan mula pelbagai helah mendekati mangsa mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam isu berkenaan dengan mengenal pasti risiko berdasarkan perkembangan semasa selain memantau penggunaan internet oleh anak-anak.

“Selain pengajaran secara formal, ibu bapa perlu mendidik anak-anak dalam aspek kawalan kendiri dan adab ketika berinteraksi di alam maya selain mengenal pasti kecenderungan semasa anak-anak di internet.

“Pada masa sama, ahli masyarakat perlu sentiasa peka dengan perubahan dan persekitaran terutama kejiranan masing-masing untuk menyalurkan sebarang perlakuan jenaya melalui saluran yang betul,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN