Johor beri amaran, arah JAINJ siasat parti 'Gang Bang' - Utusan Malaysia

Johor beri amaran, arah JAINJ siasat parti ‘Gang Bang’

POSTER yang tular mengajak orang ramai menyertai parti ‘Gang Bang” di Johor Bahru pada 20 Jun depan.

JOHOR BAHRU: Kerajaan memberi amaran keras bahawa tiada sebarang aktiviti tidak bermoral diadakan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid  menegaskan, beliau  sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk mengambil tindakan segera tentang perkara itu.

“Jangan cuba berkelakuan dengan perangai buruk di Johor, mengajak orang melakukan maksiat terang-terangan dan tak bermoral. Saya dah arahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor siasat dan ambil tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau meminta semua pihak membantu mencegah perbuatan tidak bermoral dan maksiat seperti itu di negeri ini.

“Demi Allah saya tak akan benarkan ia berlaku di Johor. Semua mesti bantu cegah dan halang kegiatan tak bermoral ini,” tegasnya.

Terdahulu, tersebar sebuah poster bertajuk ‘Gang Bang JB Party’ yang akan diadakan di bandar raya ini pada 20 Jun depan bermula pukul 4 petang hingga 9 malam.

Menurut poster tersebut, orang ramai yang mahu menyertainya disarankan membawa kondom dan tuala sendiri, selain perlu mandi terlebih dahulu dan terbuka kepada semua kaum. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN