MELAKA: Jasa dan pengorbanan Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh, anggota bomba yang meninggal dunia akibat lemas semasa operasi menyelamatkan mangsa banjir pada 2021 terus dikenang pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini, hari ini.
Dua anak arwah, Muhamad Danish Hakim, 14, dan Nurul Anisah Ilya, 11, naik ke pentas utama bagi menerima peralatan penyelamatan yang digunakan bapa mereka dalam operasi terakhirnya, disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Kedua-duanya tidak mampu menyembunyikan kesedihan pada wajah masing-masing, meskipun peristiwa hitam itu sudah berlalu hampir dua tahun.
Balu Allahyarham, Noraida Che Noh, 41, berkata, keluarganya masih lagi merasai kehilangan, terutama Nurul Anisah Ilya yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik.
“Hari ini kami sekeluarga berasa sangat sebak kerana diberikan topi dan jaket keselamatan yang dipakai arwah ketika menyelamatkan mangsa banjir di Sungai Putat pada 2021.
“Anak bongsu saya yang paling terkesan kerana dia sangat manja dengan arwah, tambahan pula ketika kejadian dia baru berumur 9 tahun. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Abu Bakar Katain cuba membantu untuk mengurangkan kerinduan Nurul Anisah Ilya dengan menjadikannya anak angkat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Pada 21 Oktober 2021, Utusan Malaysia melaporkan, selepas lebih 10 jam bertarung nyawa, Mohd. Diya yang dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat di sini, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka.
Mohd. Diya yang merupakan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.11 pagi.
Insiden berlaku ketika Allahyarham cuba menyelamatkan seramai 14 orang penduduk kampung yang terperangkap di anjung sebuah rumah, berikutan arus deras dan paras air banjir meningkat dengan cepat. – UTUSAN