MELAKA: Melaka mencatatkan 381 kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi 16 (ME16) iaitu bermula dari 16 sehingga 22 April lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 30.1 peratus berbanding 552 kes yang didaftarkan pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Melaka berjumlah 147,537 kes dengan purata kes bagi tujuh hari pada ME16 adalah 54 kes.
“Jumlah kes sembuh ialah 145,605 kes iaitu 98.7 peratus. Tiada kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Terdapat satu kes kematian baru dilaporkan minggu ini menjadikan jumlah kes kematian adalah sebanyak 1,206 kes (0.8%).
“Sehingga ME16, keseluruhan kes Covid-19 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI) yang dipantau di Melaka adalah sebanyak 1,119 kes.
“Ia melibatkan tujuh kes VOC Beta, 144 kes VOC Delta, 964 kes VOC Omicron dan empat kes VOI (XBB 1.5). Daripada 964 kes VOC Omicron yang dikesan, terdapat sebanyak 283 kes Omicron varian XBB dan satu kes Omicron varian BF.7 telah dikenalpasti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Hee Sem, terdapat empat kluster aktif dan kesemuanya dari sektor pendidikan di negeri ini iaitu Kluster Jalan Selandar, Kluster Jalan Sempang 20 Jasin 2, Kluster Lorong Bukit Piatu 15 2 dan Kluster Jalan Dato Harun 3.
Jelasnya, Kluster Jalan Selandar melibatkan pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar yang menular dalam kalangan pelajar asrama kerana kurang kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa pergaulan di asrama dan sekolah serta kelewatan pengasingan kes positif.
Ujarnya lagi, Kluster Jalan Sempang 20 Jasin 2 pula melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghaffar Baba manakala Kluster Lorong Bukit Piatu 15 2 membabitkan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik Melaka.
“Seterusnya adalah Kluster Jalan Dato Harun yang merupakan kluster institusi pendidikan melibatkan sebuah sekolah berasrama iaitu MRSM Terendak. Punca jangkitan dalam kluster ini dipercayai dari komuniti, kemudian merebak di kalangan pelajar akibat pergaulan pelajar dan kelonggaran SOP,” katanya. – UTUSAN










