Jangan jadi langau, berhenti adu domba - Abdul Halim - Utusan Malaysia

Jangan jadi langau, berhenti adu domba – Abdul Halim

Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Kalau tak boleh jadi garam, jangan jadi langau yang rosakkan ikan.”

Demikian nasihat Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman kepada bekas ‘warlord’ dan penyokong mereka yang sengaja mensensasikan kenyataan 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengajak ahli dan penyokong UMNO mengundi calon DAP yang berada dalam kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Menurutnya, ada beberapa pihak sengaja menjadikan kenyataan Ahli Parlimen Pontian itu sebagai polemik politik murahan dalam cubaan untuk menyerang UMNO.

“Bagi saya, jika kamu masih kecewa dan tak boleh terima realiti hari ini, lebih baik kamu duduk diam. Jangan kerana sakit hati kerana hajat tak tercapai, kamu jadikan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya sebagai tempat lepas geram. 

“Tindakan kamu itu tidak menguntungkan ahli-ahli dan parti, tetapi berikan persepsi buruk di mata khalayak. Kalau tak boleh bantu parti baik duduk rehat saja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, golongan tersebut berterusan melakukan adu domba dan cuba mengelirukan ahli-ahli akar umbi tentang kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan, termasuk menuduh UMNO sudah dibeli, dicucuk hidung dan tunduk kepada DAP. 

“Mereka kata masa depan UMNO makin malap dan akan berkubur sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Saya tak hairan kalau serangan itu datang daripada pihak lawan, tapi saya pelik bila ada bekas-bekas ‘warlord’ yang masih dalam UMNO atau digantung oleh parti pun turut melakukan serangan hendap terhadap pucuk pimpinan UMNO.

“Saya nak tanya, apa yang untungnya bila kamu serang orang dan parti sendiri? Apa faedah yang kamu dapat bila kamu terus menggugat perpaduan ahli dan parti? Adakah kamu masih tak boleh terima kenyataan apabila hajat kamu untuk bersama kerajaan PN (Perikatan Nasional) tak tercapai sehingga kamu bencikan UMNO yang bersama dalam kerajaan perpaduan?,” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan ‘kumpulan pengacau’ tersebut, sama ada tidak memahami konsep kerajaan perpaduan ataupun sengaja tidak mahu memahaminya.

Katanya, kerajaan perpaduan bermaksud kerajaan yang dibentuk menerusi kerjasama parti-parti politik yang berseteru sebelumnya, namun dalam beberapa keadaan yang memerlukan kerjasama termasuk darurat akibat peperangan, bencana alam atau krisis ekonomi kerana parti yang memerintah tidak mempunyai sokongan majoriti dan keperluan untuk menangguhkan pilihan raya.

“Sebab apabila bekerjasama dalam satu gabungan besar untuk membentuk kerajaan, setiap parti ada tanggungjawab untuk mengekalkan kedudukan dan keutuhan kerajaan berkenaan. Jadi bila tiba pilihan raya, maka setiap parti perlu meyakinkan para penyokong mereka untuk mengundi calon daripada kerajaan perpaduan, tak kira dari parti mana dia datang.

“Saya nasihatkan kumpulan pengacau dalam UMNO itu tolonglah belajar ataupun buat kajian lebih sikit mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya duduk menghasut ahli akar umbi membenci tindakan pucuk pimpinan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya