Isu badal haji: Menteri akan berbincang dengan TH

Isu badal haji: Jabatan Perdana Menteri akan berbincang dengan TH

MOHD. Na'im Mokhtar beramah mesra dengan pengamal media pada Majlis Sambutan Aidilfitri bersama Menteri Agama di Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung isu badal (upah) haji di negara ini. 

Menterinya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata,  pertemuan bersama TH dijangka diadakan hari ini khususnya berhubung bidang kuasa pihak yang terlibat dalam pengelolaan urusan ibadah itu.

“Saya perlu berbincang dengan TH dahulu sebab ada kekeliruan. Sama ada badal haji ini jatuh di bawah bidang kuasa TH atau Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya. 

“Kita perlu dapatkan maklumat terperinci terutama dalam kawal selia dan garis panduan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri bersama media, di sini hari ini. 

Mohd Na’im berkata, umat Islam di negara ini perlu berhati-hati dengan sebarang tawaran badal haji jika harga yang ditawarkan terlalu rendah bagi mengelak penipuan.

Justeru, katanya, beliau akan berbincang lanjut mengenai perkara itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (TH), Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. 

“Sebaik pertemuan dan perbincangan saya selesai, saya akan membuat kenyataan berhubung isu tersebut. 

“Insyallah minggu depan nanti akan diumumkan,” jelasnya. 

Semalam, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menasihati rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan tawaran badal (upah) haji yang tumbuh bak cendawan. 

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, terdapat lambakan iklan badal haji di media sosial yang menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

Pihak Kementerian Haji Arab Saudi menetapkan empat kategori pakej haji yang disediakan untuk penduduk tempatan tahun ini, dengan kos antara SAR 3,984 (RM4,819) hingga SAR 11,841 (RM14,323).

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepada rakyat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan kos sedemikian yang ditawarkan mereka. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN