KOTA BHARU: Impian hampir sedekad seorang peniaga santan untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan menerusi program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sapinah Ab. Ghani, 39, dari Kampung Jal, Kok Lanas berkata, kemudahan itu memberikan sinar baharu buat dia dan keluarga apabila tidak lagi perlu menyewa selepas ini.
“Alhamdulillah, program RMR ini sangat membantu kami memiliki rumah sendiri memandangkan saya dan suami hanya berniaga santan segar secara kecil-kecilan.
“Dengan pendapatan kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan, pastinya amat sukar untuk kami membina sendiri rumah tanpa bantuan subsidi daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci dan Penghargaan RMR SPNB di sini semalam.
Sementara itu, guru Kafa, Nor Aini Abdullah, 32, dari Kampung Baruh Pial, Rantau Panjang dekat sini memberitahu, sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat dia dan keluarga apabila memiliki rumah sendiri.
Katanya, sebelum ini, dia dan keluarga terpaksa bergilir-gilir menumpang di rumah ibu bapanya dan mentua disebabkan tidak memiliki kemudahan tersebut.
“Saya bersyukur dan gembira kerana permohonan RMR kami pada April tahun lalu dipermudahkan dan tidak perlu menunggu lama untuk diluluskan.
“Saya sekeluarga mula mendapat kunci rumah ini Mac lalu iaitu dua minggu sebelum puasa dan sambutan Ramadan tahun ini amat bermakna buat kami,” katanya. -UTUSAN