ALOR SETAR: Setelah dua kali hajat menunaikan ibadat haji tertangguh, seorang ibu tunggal dari Kuala Nerang dekat sini melahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci tahun ini.
Lebih membahagiakan, kata Zaharah Ahmad, 55, dia berpeluang menunaikan ibadat itu bersama ibu kesayangannya, Rodiah Mehat, 76, selepas hajat untuk turut berangkat bersama suami, Ramli Abdul Hamid, 56, tidak kesampaian kerana meninggal dunia akibat Covid-19.
“Kali pertama saya dapat tawaran pada 2020, tetapi akibat Covid-19, ibadah haji pada tahun itu ditangguhkan. Saya reda dan setahun kemudian ketika sudah bersedia untuk berangkat dengan suami, dia pula meninggal dunia dan saya terpaksa tangguh lagi kerana masih dalam edah.
“Alhamdulillah, tahun ini dapat sekali lagi tawaran untuk mengiringi ibu ke Tanah Suci,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Kedah ke Tanah Suci 1444 Hijrah di sini kelmarin.
Zaharah merupakan salah seorang daripada 2,321 jemaah haji dari Kedah yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini dan masing-masing ke Mekah dengan penerbangan dari Alor Setar sejak 20 Mei lalu.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan bagi mengucap selamat jalan kepada jemaah terlibat.
Bercerita lanjut, kata Zaharah, walaupun terkilan kerana tidak dapat menunaikan haji bersama suami, dia reda kerana menganggapnya sebagai satu anugerah terindah baginya untuk mengiringi ibu.
“Dapat iringi ibu bererti saya dapat berbakti kepadanya sehingga ke Tanah Suci. Ini aturan Allah untuk saya yang kehilangan suami. Ibu juga mengalami masalah kesihatan seperti darah tinggi dan sakit saraf, jadi, saya harus menjaganya dengan rapi dan memastikan dia ambil ubatnya ikut masa. Semoga kami berdua dapat haji yang mabrur,” katanya.
Sementara itu, menurut Rodiah, dia turut melahirkan rasa kesyukuran kerana terpilih untuk menunaikan haji tahun ini setelah mendaftar pada 2008.
“Alhamdulillah, sementara masih sihat ini dapat juga ke rumah Allah. Semoga berjalan lancar nanti, sudah lama saya simpan duit sikit-sikit hasil getah akhirnya dapat juga ke Mekah,” katanya.-UTUSAN










