KLUANG: Kehadiran kumpulan gajah liar ke kawasan penempatan di daerah ini bukan asing kerana hampir setiap minggu pasti ada kejadian berlaku sehingga membimbangkan penduduk.
Terbaru, dua gajah dewasa dan seekor anak gajah ‘bertandang’ ke Taman Sri Lambak untuk ‘beraya’ kira-kira tiga jam bermula pukul 1 pagi tadi.
Penduduk Jalan Cekal 14, Razak Ahmad, 55, berkata kejadian disedarinya selepas terdengar bunyi dengusan kuat binatang itu serta bunyi pelepah kelapa dipatahkan.
Selain itu, banyak tanaman penduduk turut ‘dijamah’ keluarga gajah tersebut.
“Kumpulan tiga ekor gajah ini dipercayai masuk ke Jalan Semangat 9 pada minggu lepas dan tidak disangka boleh masuk ke kawasan ini walaupun diselangi banyak rumah penduduk antara dua jalan ini.
“Namun, kumpulan gajah dipercayai tiga beranak ini mungkin masuk melalui kawasan tanah perkuburan yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Kluang dan tidak jauh dari Jalan Cekal,” katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang penduduk Cekal 4, Mohd. Ghazali Esa, 47, berkata, keluarganya menyedari kehadiran gajah liar ini kira-kira pukul 4 pagi selepas mendengar salakan anjing berpanjangan di jalan itu.
Apabila bangun pagi, dia melihat banyak pokok yang ditumbangkan sepanjang jalan berkenaan.
“Sebelum ke Jalan Cekal 4, kumpulan gajah liar berkenaan dipercayai terlebih dahulu meragut apa sahaja tanaman yang boleh dimakan di sepanjang Jalan Cekal 9 selepas ‘menjamu’ selera di Jalan Cekal 14,” katanya.
Ekoran kumpulan gajah liar itu sering memasuki kawasan penempatan, penduduk berharap pihak berkaitan mengambil tindakan segera sebelum sesuatu perkara tidak diingini berlaku. – UTUSAN