Gadis OKU mohon bantuan ketuhar besar buat biskut, kek dan

Gadis OKU mohon bantuan ketuhar besar buat biskut, kek dan pastri

NURUL HIDAYAH Saad menunjukkan ketuhar kecil miliknya yang tidak mampu menyediakan biskut, kek dan pastri dalam jumlah yang besar berbanding permintaan cukup menggalakkan daripada pelanggan di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hasrat gadis orang kurang upaya (OKU), Nurul Hidayah Saad, 20, untuk melebarkan perniagaan biskut, kek dan pastri kemungkinan terbantut kerana dia ketika ini hanya mempunyai ketuhar kecil bernilai RM700 yang dibeli oleh bapanya, Saad Yahya, 69, pada awal bulan Ramadan baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Saad yang merupakan peneroka di Felda Kota Gelanggi Dua di sini berkata, dia mengeluarkan wang simpanannya untuk membeli ketuhar kecil memandangkan keperluan serta minat anaknya membuat biskut dan kek untuk dijual sempena Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Disebabkan permintaan anak yang beria-ria untuk berniaga di rumah pada awal Ramadan lalu, saya pun terus membeli sebuah ketuhar yang murah sebagai galakan serta untuk tidak menghampakan permintaannya.

“Selepas memiliki ketuhar ini, saya agak terkejut kerana biskut yang dibuat oleh Nurul Hidayah mendapat pasaran cukup menggalakkan daripada pelanggan setempat, Bandar Jengka, Jerantut dan Temerloh, malah dia tidak menang tangan kerana banyak menerima tempahan luar,” katanya di sini semalam.

Menurut Saad, disebabkan saiz ketuhar yang kecil, gadis OKU cacat pendengaran itu hanya mampu menyiapkan 40 bekas biskut sahaja sehari berbanding tempahan yang melebihi jumlah tersebut.

“Anak saya dibantu ibunya yang terpaksa bersengkang mata menyediakan tempahan yang banyak daripada pelanggan kerana saiz ketuhar yang agak kecil,” katanya.

Sementara itu, Nurul Hidayah dengan bantuan komunikasi bapanya ketika ditanya berkata, semasa belajar di kelas pendidikan khas sekolah rendah dan sekolah menengah, dia sudah diajar oleh gurunya tentang cara membuat kuih komersial seperti biskut, kek dan pastri.

“Bermula di peringkat sekolah yang mengikuti pembelajaran setiap hari memberikan minat saya untuk memulakan perusahaan membuat biskut, kek dan pastri secara komersial selepas tamat sekolah.

“Saya berterima kasih kepada guru yang menggalakkan serta membantu sehingga berpeluang menjalani kursus di Pusat Latihan Perindustrian Pemulihan (PLPP) di Bangi, Selangor tahun lalu sehingga mampu berdikari menyediakan perusahaan makanan komersial ini,” katanya.

Namun, kata gadis OKU itu, dia memerlukan ketuhar yang besar untuk menyediakan lebih banyak biskut, kek dan pastri memandangkan ramai permintaan pelanggan yang menempah menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebooknya ‘Nurul Hidayah Saad’.

“Saya juga memerlukan sebuah peti sejuk dan peralatan mengadun untuk melebarkan perniagaan ini memandangkan bapa saya sudah membina sebuah bengkel kecil di depan rumah untuk membuat dan memasarkan biskut, kek dan pastri secara komersial,” katanya.

Agensi kerajaan, orang ramai dan dermawan yang ingin membantu Nurul Hidayah boleh menghubunginya menerusi talian 01128046129 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) gadis OKU itu bernombor 0630041000048857. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya