Du’at Al-Falah bimbing masyarakat teras pembinaan Malaysia

Du’at Al-Falah bimbing masyarakat teras pembinaan Malaysia Madani

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 250 individu terdiri daripada ahli ilmuwan, golongan profesional dan asatizah dipilih sebagai Du’at Al-Falah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Du’at Al-Falah ialah sebuah gabungan pendakwah yang berperanan membawa pendekatan kesederhanaan dan berpegang teguh dengan asas akidah ahli sunnah wal jamaah yang sebenar.

Beliau berkata, Du’at Al-Falah akan berperanan untuk membimbing kefahaman masyarakat tentang teras-teras pembinaan Malaysia Madani berpandukan dengan enam teras Malaysia Madani sebagai asas diskusi.

“Enam asas itu termasuk kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

“Objektif Du’at Al-Falah adalah bagi melahirkan Du’at yang sentiasa mendidik masyarakat setempat dan komuniti dengan enam nilai teras Malaysia Madani.

“Mereka juga berperanan mewujudkan ejen dakwah yang membawa pendekatan sederhana dan pemikiran bertamadun dalam proses perubahan (islah) dan menegak keadilan sosial di Malaysia,” katanya selepas melancarkan Seminar Pembimbing Malaysia Madani, hari ini.

Katanya, Du’at Al-Falah ini bertindak sebagai pembentuk watak du’at selaras dengan nilai wasatiyah, hikmah, rahmah, matang dan cerdas.

Mohd Na’im berkata, Du’at Al-Falah ini dipilih dalam kalangan pendakwah yang telah dikenalpasti menerusi pengesyoran oleh institusi dan organisasi dakwah berasaskan tiga kategori Du’at Komuniti, Du’at Akademia dan Du’at Belia.

Menurutnya, program ini adalah salah satu usaha membentuk komuniti pendakwah yang soleh dan musleh serta ikon pendakwah.

“Mereka akan mengangkat nilai akhlak jua prinsip keagamaan yang menghormati nilai kemanusiaan (insaniyah) dan menolak segala bentuk kekerasan (ghuluw) dalam beragama,” katanya.

Katanya, semoga para Du’at al-Falah akan menjadi pembimbing masyarakat bagi meningkatkan kualiti ilmu pengetahuan Islam yang sebenar dan menerapkan nilai-nilai unggul Malaysia Madani dalam komuniti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya