Di Johor kalimah Allah hanya untuk umat Islam - Sultan Ibrahim - Utusan Malaysia

Di Johor kalimah Allah hanya untuk umat Islam – Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa penggunaan kalimah Allah di negeri ini hanya boleh digunakan oleh umat Islam.

Titah baginda, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang.

“Di negeri Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang.

“Negeri Johor juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. 

“Namun, enakmen itu berkecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan oleh perundangan, seperti dalam seni kata lagu Bangsa Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Sultan Ibrahim bertitah, susulan keputusan pada 18 April lalu untuk menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 10 Mac 2021, kerajaan Persekutuan perlu memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya kesan-kesan keputusan itu.

“Hal ini kerana ia berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat Islam negara ini. Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan tentang kalimah Allah mesti diperinci tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri supaya keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk kita akan terus terpelihara,” titah baginda.

Baginda tetap berpendirian bahawa penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran sebarang bahan yang mengelirukan rakyat, terutamanya umat Islam, tidak akan dibenarkan di negeri ini selari dengan kedudukan Islam dalam Undang Undang Tubuh Negeri Johor 1895. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.