Cuaca panas: Jambatan Merdeka tenggelam sejak 50 tahun

Cuaca panas: Jambatan Merdeka tenggelam sejak 50 tahun kembali kelihatan

STRUKTUR asal Jambatan Merdeka yang tenggelam sejak kira-kira 50 tahun lalu jelas kelihatan semula semalam ekoran kejadian panas terik dan paras air Sungai Muda, Kepala Batas surut secara mendadak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Cuaca panas terik ketika ini menyebabkan struktur asal Jambatan Merdeka di Sungai Muda dekat sini, yang tenggelam sejak kira-kira 50 tahun lalu kembali kelihatan.

Seorang penduduk Kampung Guar Kepah, Md Khalil Salleh, 55, berkata, cuaca panas terik sejak kebelakangan ini menyebabkan paras air Sungai Muda cetek sehingga menampakkan sebahagian struktur asal Jambatan Merdeka yang menyimpan 1,001 sejarah di antara daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dengan Kedah.

“Jambatan asal mula kelihatan semalam iaitu kira-kira pukul 10 pagi sehingga lewat malam.

“Kalau diikutkan jambatan asal itu telah tenggelam kira-kira 50 tahun lalu iaitu sejak empangan Ampang Jajar dibina sekitar tahun 1973.

“Jika dahulu boleh lagi nampak tiang jambatan tersebut, namun paras air meningkat menyebabkan ia hilang dari pandangan sehinggalah semalam,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Katanya, kejadian air Sungai Muda yang surut secara mendadak tersebut menyebabkan permukaan dasar Jambatan Merdeka atau lebih dikenali sebagai Titi Merdeka oleh penduduk asal kampung berkenaan lebih jelas kelihatan.

“Memang boleh nampak laluan simen titi dan saki baki tiang kira-kira 15 ke 20 meter dari tebing sungai. Sehinggakan ada kalangan penduduk boleh berjalan kaki melalui titi tersebut.

“Walau bagaimanapun, titi tersebut mula tenggelam semula hari ini disebabkan paras air sungai sedikit meningkat,” katanya yang juga merupakan pesara tentera.

Dalam pada itu, seorang nelayan, Abdul Rahim Awang, 52, berkata, orang ramai tidak mahu melepaskan peluang merakamkan video dan bergambar berlatarbelakangkan jambatan tersebut yang merupakan alat penghubung penduduk setempat di kedua-dua buah negeri sewaktu sebelum merdeka dahulu.

“Ada yang datang dari Kedah termasuk Baling dan Pendang selain dari Balik Pulau dan kawasan sekitar semata-mata ingin melihat struktur asal titi tersebut yang dirasmikan oleh Bapa Kemerdekaan yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia pertama allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1957.

“Memang macam pesta semalam sehingga tular rakaman video di Tik Tok dan media sosial mengenai kebanjiran orang ramai datang ke sini,” katanya yang merupakan penduduk asal Kampung Permatang Tinggi.

Katanya, kejadian air sungai surut tersebut sedikit sebanyak dapat memberi peluang kepada orang ramai terutama golongan muda menghayati kisah sejarah tempatan sambil melihat sendiri bentuk asal jambatan tersebut dari dekat.

Penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang, Kepala Batas dekat sini sejak pukul 5 pagi Ahad lepas telah menyebabkan pengeluaran loji Rawatan Air Sungai Dua terjejas ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya