KUALA LUMPUR: Kekuatan Kerajaan Perpaduan bukan hanya bergantung kepada UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi Pakatan Harapan (PH) juga perlu menang banyak kerusi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ke arah mencapai kemenangan tersebut, parti-parti yang menaungi kerajaan perpaduan harus sepakat untuk menarik pengundi menyokong mereka pada PRN ini.
“ PH dan UMNO perlu ada persefahaman dalam kalangan parti di bawah Kerajaan Perpaduan, perlu ada semak dan imbang sebagai asas pengukuhan yang boleh menjamin kesepakatan pentadbiran kerajaan Persekutuan sehingga lima tahun berikutnya.
“Dalam hal ini, kemenangan besar daripada PH juga penting bagi menjamin kekuatan Kerajaan Perpaduan bukan hanya berharap UMNO sahaja kena menang besar,” kata beliau.
Menurut beliau, perkara penting dalam PRN juga, UMNO dan parti-parti di bawah PH tidak boleh ‘bertembung’ atau ‘berebut’ kerusi.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyuarakan harapannya agar seteru lamanya, UMNO ‘menang besar’ dalam PRN tidak lama lagi.
Anthony berkata, kemenangan UMNO akan mengukuhkan lagi Kerajaan Persekutuan.
“Saya harap UMNO akan dapat kemenangan lebih besar, kerana dengan menjadi lebih kuat, ia akan menjadikan kerajaan lebih kuat. Jika mereka (UMNO) jadi lebih kuat, ia tidak baik untuk pembangkang,” jelas Anthony.
Bagaimanapun, Jalaluddin berkata, UMNO optimis boleh menang besar seperti yang diharapkan PH di Negeri Sembilan.
“Insya-Allah saya yakin kita mampu menang besar seperti yang diharapkan, saya dah pergi berjumpa dengan semua pimpinan UMNO BN Negeri Sembilan, persiapan semaksima yang kita sedang lakukan sekarang ini, sampai ke peringkat untuk tunggu tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memastikan semua kerusi BN tandingi menang,” katanya.- UTUSAN











