SEREMBAN: Belum terdapat sebarang ketetapan berhubung had usia maksimum bagi individu untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) masing-masing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut memaklumkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga masih memandu serta memiliki lesen memandu yang sah.
“Bagi warga emas, itu terpulang, setakat ni kita masih belum ada dasar umur maksimum, pada usia 97 tahun, Dr. Mahathir masih memandu, lesen beliau masih sah. Setakat ini, umur minimum ada (memiliki lesen di usia 16 tahun bagi lesen motosikal), umur maksimum tiada.
“Jadi itu terpulang kepada warga emas, kita (kerajaan) beri pilihan. Apabila kita buat dasar ini sudah tentu ada pelbagai reaksi, malah tiada paksaan kepada mana-mana pihak untuk memperbaharui lesen mereka sehingga tempoh 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di sini bagi meninjau hari pertama pelaksanaan inisiatif pembaharuan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban memberikan amaran kepada kumpulan tonto khususnya yang mengikuti pergerakan pasukan penguatkuasaan JPJ untuk tidak sesekali mencabar undang-undang negara.
Siew Fook berkata, isu tonto itu sememangnya disedari cuba mengatasi tindakan penguatkuasaan JPJ oleh itu kaedah dan tindakan akan dicari dari masa ke masa untuk memperketatkan penguatkuasaan tersebut.
“Saya mahu nyatakan bahawa apa pun cara mereka, mereka tidak boleh mencabar undang-undang negara kita yang berasaskan kepada sistem undang-undang, kedaulatan undang-undang itu adalah satu prinsip yang penting.
“Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mencabar undang-undang. Walaupun apa helah dan cara mereka mengelak daripada penguatkuasaan termasuk menggunakan sistem telekomunikasi lebih canggih dan sebagainya, kami akan terus juga mencari kaedah yang lebih berkesan daripada segi penguatkuasaan,” katanya lagi.-UTUSAN.