Bekerjasama, sedia biasiswa lahirkan generasi pelapis cerdik pimpin Johor - Utusan Malaysia

Bekerjasama, sedia biasiswa lahirkan generasi pelapis cerdik pimpin Johor

ONN HAFIZ GHAZI (tengah) menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bukan sahaja bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), malah turut menyediakan biasiswa khas bagi melahirkan generasi pelapis yang cerdik pandai untuk memimpin negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan negeri dalam menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang 2030.

Justeru, pelbagai program telah dirangka bersama JPNJ, antaranya penyediaan biasiswa khas kepada pelajar terpilih bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kita nak jadikan negeri Johor ini sebuah negeri yang maju, tetapi kalau pendidikan kita tidak capai standard yang kita rancangkan, mana mungkin kita boleh capai standard itu. Pelbagai program yang kita buat untuk mencungkil pelajar yang bakal memimpin negeri ini termasuk pemberian biasiswa kepada pelajar terpilih.

“Justeru, kita mahu pelajar yang dibantu ini tidak melupakan Johor dan kembali menabur bakti di negeri tercinta ini setelah berjaya kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru di Sekolah Tun Fatimah, di sini hari ini.

Yang turut hadir  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh dan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Mohd. Hanafi Samad.

Dalam pada itu, Mohd. Hanafi berkata, peranan kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti pendidikan di negeri tidak dapat disangkal, baik dalam bentuk bantuan kewangan, pembangunan infrastruktur pendidikan, mahupun program-program pendidikan.

Katanya, hasil sokongan kerajaan negeri juga telah memperlihatkan peningkatan dalam keputusan peperiksaan dan peningkatan kemudahan di institusi pendidikan kita. 

“Selain sokongan berterusan menerusi pelbagai saluran, pada tahun lalu kerajaan negeri telah menyumbang lebih RM20 juta kepada setiap bilik guru serta baik pulih sekolah di negeri ini.

“Pada tahun ini pula, kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM200,000 kepada pelajar menerusi Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC) bagi membantu mencipta persekitaran pendidikan yang lebih berkualiti dan memberikan peluang kepada pelajar membangunkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan kerjasama antara satu sama lain,” katanya. 

Selain itu, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan membantu pelaksanaan program pendidikan khas yang telah memberikan peluang kepada pelajar yang memerlukan bantuan khas untuk belajar dalam suasana yang kondusif.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya