PETALING JAYA: Tiga tahun bergelar janda, Bunga Citra Lestari (BCL) dilihat semakin intim dengan teman lelakinya, Tiko Aryawardhana.
BCL seperti sudah sedia membuka hatinya untuk cinta baharu bagi menggantikan tempat arwah suaminya, Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2020.
Tiko yang pernah belajar di sebuah institusi pengajian tinggi bersama dengan BCL adalah duda anak tiga dan bekerja sebagai pegawai bank.
Semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu, BCL mengenakan busana lebaran senada dengan motif bunga-bunga yang dihiasi warna jingga dan hijau.
Tiada lagi raut wajah kesedihan pada wajah BCL sekali gus menunjukkan ibu anak satu itu sudah bangkit semula kehidupannya .
BCL juga mengejutkan ramai pihak selepas berkongsikan gambar dirinya dengan Tiko menyambut lebaran bersama ahli keluarganya dalam Instagram miliknya.
Perkongsian itu sekali gus menguatkan spekulasi bertiup kencang mengenai hubungan cinta BCL dengan Tiko.
Kemesraan pasangan itu pertama kali dikesan selepas mereka berdua didakwa menghabiskan masa bersama dengan bercuti ke Amerika Syarikat, tahun lalu.
Hubungan mereka dihidu selepas bayang-bayang Tiko muncul dalam salah satu gambar yang dimuat naik BCL dalam Instagram miliknya.
Sebelum ini, BCL pernah digosipkan dengan penyanyi, Ariel Noah selepas dilihat terlalu intim ketika membuat persembahan di atas pentas yang sama.
Bagaimanapun, kedua-duanya menafikan spekulasi tersebut dan mengaku hubungan mereka hanya sekadar kawan baik. – AGENSI/UTUSAN










