Annuar beri kebebasan kepada anak terajui UMNO Ketereh

Annuar beri kebebasan kepada anak terajui UMNO Ketereh

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sentiasa memberi kebebasan kepada anaknya, Afiq Amani Annuar untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua UMNO Bahagian Ketereh.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, meskipun beliau boleh mengarahkan anaknya mahupun seluruh ahli keluarganya untuk turut menyertai Pas, namun beliau enggan berbuat demikian bagi memberi kebebasan kepada semua pihak.

Menurutnya, Afiq perlu memikul tanggungjawab yang diberikan oleh akar umbi memandangkan kedudukannya tidak sama seperti mana beliau yang dibuang oleh parti UMNO.

“Kalau saya tarik anak saya (masuk Pas), itu baru seorang, sedangkan ahli keluarga saya yang lain sudah 400 hingga 500 orang, kawan-kawan rapat saya ada beribu. Jadi, ini bukan soal Afiq  seorang.

“Dia anak saya dan saya boleh arahkan dia untuk masuk (Pas) tapi saya tidak begitu, anak saya Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang dipilih akar umbi, jadi, tidak timbul soal anak saya masuk Pas atau tidak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Pertandingan Burung Candik di Kok Lanas di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar turut mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan supaya tidak sombong dalam membuat sebarang kenyataan.

“Kita jangan berpolitik dengan cara menunjukkan kesombongan dalam membuat kenyataan. Masalah pemimpin UMNO di kelantan yang bercakap ikut ‘sedap’, semakin bercakap, makin hilang pengaruh.

“Orang tidak akan hormat kalau kita hanya berani bercakap atau kita mendapat tempat dalam sosial media tetapi orang akan memerhati kandungan apa yang kita cakap,” katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan UMNO Kelantan mencabar Annuar supaya mengajak anak lelakinya yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Ketereh menyertai Pas sebelum berkempen menarik orang lain menyertai parti itu.

Ketua Penerangan, Datuk Zawawi Othman berkata, Annuar akan dilabel gagal jika anak kandung sendiri tidak meyakini tindakan tersebut, apatah lagi orang lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya