Aminuddin yakin pengundi Melayu di Negeri Sembilan bersama Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

Aminuddin yakin pengundi Melayu di Negeri Sembilan bersama Kerajaan Perpaduan

AMINUDDIN Harun ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Seremban di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban di Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengundi dalam kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan diyakini akan memberikan sokongan kepada gabungan Kerajaan Perpaduan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keyakinan tersebut jelas dapat dilihat menerusi keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu serta kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini yang dimenangi kesemuanya oleh gabungan PH dan Barisan Nasional (BN).

“Kami kenal masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, kami yakin mereka akan bersama Kerajaan Perpaduan di negeri ini. Pengundi Melayu tidak melihat gelombang semata-mata. Mereka turut lihat dan menilai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri selama ini dalam meningkat ekonomi dan mensejahterakan rakyat.

“Mereka (pembangkang) boleh berkata apa sahaja, sebab mereka orang politik dan boleh kata apa sahaja untuk yakinkan masyarakat tetapi mereka harus lihat fakta, bukan hanya seronok untuk buat kenyataan begitu. Kalau diikutkan keputusan Parlimen, semuanya kita menang juga di seluruh DUN jika ikut keputusan hari ini,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Seremban di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari bahawa ‘tsunami Melayu’ bakal berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN tidak lama lagi.

Ketika memberitahu Utusan Malaysia, Abdul Rashid berkata, gelombang besar yang bermula dari negeri-negeri utara dan pantai timur itu bukan sahaja akan dapat dirasai impaknya di Selangor bahkan mungkin merebak di Negeri Sembilan.

Katanya, gelombang yang disifatkannya sebagai ‘terlampau hebat’ itu juga diyakini dapat mengubah pendirian pengundi parti lain termasuk UMNO untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) pada PRN depan.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, PH dan BN di Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan mengenai manifesto bersama untuk menghadapi PRN.

“Satu jawatankuasa akan diwujudkan tetapi di peringkat PH Negeri Sembilan, sekretariat manifesto telah pun ada. Selepas ini, kami akan bersama BN untuk melihat perkara-perkara yang boleh dibawa untuk kita pastikan ia menjadi satu manifesto bersama,” katanya yang turut memaklumkan rundingan kerusi di antara PH dan BN akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN