PETALING JAYA: Shukri Azam, anak kepada bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabit kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu 17 tahun lalu dilaporkan merayu kepada Australia untuk mempertimbang semula pemberian suaka politik kepada bapanya.
Permohonan pertama Sirul untuk mendapatkan suaka politik di Australia ditolak pada 2019.
Menurut laporan media antarabangsa, katanya, dia bimbang bahawa nyawa bapanya terancam jika mereka kembali ke Malaysia.
Bagaimanapun, Shukri dan bapanya tidak bercadang pulang ke Malaysia walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk bunuh dimansuh.
“(Apabila) kami datang ke Australia, (kami) hanya mahu mula hidup baharu. Buat pertama kali dalam hidup saya, saya merayu kepada Australia.
“Tolong berikan ayah saya peluang kedua kerana kami tidak melakukan apa-apa kesalahan di Malaysia mahupun di Australia.
“Ayah saya seorang yang kuat dan merendah diri,” katanya seperti dilapor Sydney Morning Herald hari ini.
Shukri kini berusia 23 tahun. Dia berumur enam tahun ketika Altantuya dibunuh.
Dia dilapor dibesarkan oleh ibu bapa angkat di Australia selepas tidak lagi berada bawah jagaan ibunya dan telah menetap di Australia selama hampir 10 tahun.
Altantuya ditembak di kepala di sebuah hutan di Puncak Alam, Selangor dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.
Kes pembunuhannya adalah aspek paling menggemparkan dalam skandal membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terbabit dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis pada tahun 2002.
Sirul dan seorang lagi bekas anggota polis, Azilah Hadri, disabitkan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan membunuh Altantuya.
Azilah kini banduan akhir di Penjara Kajang.
Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, namun, Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengembalikan sabitan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati.
Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir. Dia kini berada di pusat tahanan imigresen Villawood sejak 2015 selepas ditahan polis Australia. –UTUSAN