Ahmad tiada hak paksa ahli UMNO undi calon DAP - Utusan Malaysia

Ahmad tiada hak paksa ahli UMNO undi calon DAP

Pandak Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tiada hak untuk memaksa ahli dan penyokong parti itu memberi undi mereka kepada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri akan datang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad sebaliknya berkata, ahli dan penyokong UMNO bijak dan berhak membuat pilihan sendiri.

Tegasnya, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan juga tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan sedemikian kepada ahli akar umbi kerana beliau bukan lagi Setiausaha Agung parti.

“Sebenarnya kenyataan dibuat Datuk Seri Ahmad Maslan itu bersifat peribadi, dia tidak menyelami peringkat bawahan bahawa sentimen itu tetap ada. Jadi, jangan hanya kerana mempertahankan jawatan yang ada sehingga mengabaikan prinsip yang di bawah.

“Kita boleh bekerjasama dalam kerajaan perpaduan tetapi dalam konteks menyeru atau memaksa penyokong UMNO untuk sokong pihak lain, itu bukan kuasa dia. Kita tidak mahu keyakinan akar umbi UMNO, khasnya orang lama hilang kepada parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Pandak yang juga bekas Setiausaha Kerja UMNO Johor memberitahu, kepimpinan UMNO sepatutnya mengurangkan kenyataan-kenyataan yang melibatkan kepentingan peribadi.

“Rakyat termasuk penyokong UMNO akan buat pilihan mengikut perkembangan semasa dan bukannya secara membuta tuli kerana akan menilai perubahan yang dilakukan kerajaan perpaduan. Mungkin kenyataan seperti itu bertujuan untuk megubah suasana bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan, tetapi ia tidak semudah itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penyokong UMNO yang hanya mahu dikenali sebagai Jaafar menyatakan kekecewaannya dengan tindakan pucuk pimpinan parti itu yang bersetuju menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Saya kecewa, sekiranya tiba masa mengundi kelak dan UMNO serta Barisan Nasional (BN) masih bersama PH dan DAP, saya akan beri undi kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Kelmarin, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada kerajaan perpaduan pada PRN tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya