KUALA LUMPUR: Menolak spekulasi bahawa Kerajaan Perpaduan kini sedang bergolak, Ketua Sekretariatnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan seramai 148 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan hari ini masih utuh dan sentiasa menjalankan rundingan sesama mereka sehingga hari ini.
Katanya, pergolakan tersebut hanyalah cakap-cakap daripada beberapa pihak yang ‘cemburu’ kerana tidak dapat membentuk kerajaan dengan lebih awal selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“148 ahli parlimen yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan masih lagi kekal kukuh dan yang paling penting ialah medan perbincangan sentiasa berjalan, bukan setiap bulan, tetapi setiap minggu.
“Yang paling penting saya sebagai Pengerusi Sekretariat akan memastikan komunikasi sentiasa berjalan contohnya konvensyen ini, malah, sebelum ini pun kita sudah ada banyak kali mesyuarat, pagi tadi pun ada mesyuarat.
“Kita bukan one men show (bergerak solo), tidak ada parti yang mendominasi parti lain, kita membentuk saling sentiasa ada ruang. Biasalah orang yang tidak senang dengan kekuatan yang ada ini sebenarnya cemburu dengan tidak dapat bentuk kerajaan lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Terdahulu, beberapa pemimpin politik berulang kali membuat pendirian yang sama sehingga hari ini dengan menjelaskan Kerajaan Perpaduan stabil dan diyakini kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang berikutnya.
Ia susulan spekulasi yang berlegar mengenai pembangkang kini mempunyai Akuan Bersumpah (SD) mencukupi bagi membentuk kerajaan.
Menolak dakwaan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam satu kenyataan terbaharu menjelaskan yang beliau yakin Kerajaan Perpaduan kekal penuh sehingga pilihan raya lima tahun lagi.
Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut mahu semua pihak pimpinan parti politik tidak menimbulkan isu baharu kerana kerajaan yang ada ketika ini sudah stabil dengan sokongan daripada 148 ahli Parlimen.
Begitu juga dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga menjelaskan sebarang usaha untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan perkara yang mudah seperti yang disangkakan pembangkang yang bersungguh-sungguh dalam perkara itu.
Mengulas lanjut mengenai isu rundingan kerusi di enam Pilihan Raya Negeri (PRN), jelas Asyraf lagi, meskipun terdapat pertindihan kerusi, namun ia masih di peringkat yang positif.
“Pembahagian kerusi sedang berjalan, amat positif. Dalam masa terdekat ini kita boleh rumuskan, dijangka setakat hari ni nampak kerjasama untuk 6 PRN antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional amat baik sekali.
“Semua ada pertindihan sebab sebelum ini BN bertanding lawan PH, tetapi perbincangan sedang berjalan. Saya menerima laporan yang boleh kita katakan amat positif dan konstruktif,” ujarnya lagi. -UTUSAN