Abang lima beradik kematian ibu bapa akibat Covid-19 pada 2021 maut dalam nahas - Utusan Malaysia

Abang lima beradik kematian ibu bapa akibat Covid-19 pada 2021 maut dalam nahas

TANGKAP layar laporan kisah lima orang adik beradik di Bandar Sunggala, Port Dickson yang kematian ibu bapa mereka akibat Covid-19 pada 2021 yang mendapat perhatian banyak pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Abang sulung kepada lima orang adik beradik yang kisah mereka kehila­ngan ibu bapa akibat meninggal dunia kerana Covid-19 yang menyentuh hati banyak pihak pada tahun 2021, maut selepas terbabit dalam kemalangan ke tempat kerjanya di sini pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Haidir Rodzi, 25, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku di jalan dalam Jimah Power Plant, Bukit Pelandok di sini kira-kira pukul 8.20 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah lori kren pengangkat (skylift) dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori dan motosikal bergerak dari arah Lukut menghala ke Jimah Power Plant, Bukit Pelandok. Sebaik sampai di jalan dalam Jimah Power Plant Bukit Pelandok, semasa lori membelok ke kanan simpang menuju ke tempat pembinaan, datang motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah belakang.

“Motosikal itu telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori. Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dalaman serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MUHAMMAD Haidir Rodzi meninggal dunia dalam kemalangan ke tempat kerja di Jimah Power Plant, Bukit Pelandok, Port Dickson pagi tadi.

Pada tahun 2021, media melaporkan Muhammad Haidir dari Bandar Sunggala di sini menjaga empat orang adiknya yang pada ketika itu berusia tujuh sehingga 20 tahun selepas mereka kehila­ngan ibu dan bapa yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Bapa kepada lima beradik itu, Allahyarham Rodzi Tahar yang ketika itu berusia 55 tahun yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi di Hospital Tampin pada 31 Mei 2021.

Ibu mereka pula, Nazita Idris, yang ketika itu berusia 45 tahun pula menghembuskan nafas ter­akhir ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) pada pukul 2.30 petang pada 6 Jun 2021.

Peristiwa itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang turut tampil menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga.

Sementara itu, difahamkan, Allahyarham Muhammad Haidir telah mendirikan rumah tangga pada tahun lalu dan baru sahaja menimang cahaya matanya baru-baru ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya