9,564 individu perbaharui lesen memandu 10 tahun

9,564 individu perbaharui lesen memandu 10 tahun

ZAILANI Hashim (kanan) merasmikan Rumah Kios JPJ Terengganu di JPJ Terengganu, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 9,564 individu memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh maksimum 10 tahun selepas permohonan dibuka bermula 8 Mei lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, jumlah yang direkodkan setakat 12 Mei itu membuktikan inisiatif tersebut mendapat sambutan yang positif daripada rakyat.

Menurutnya, inisiatif itu mendapat sambutan memberangsangkan kerana ramai yang berminat mahu menikmati penjimatan diskaun 10 peratus yang ditawarkan.

“Kita jangka, lebih ramai yang akan memperbaharui lesen untuk tempoh 10 tahun itu dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Rumah Kios JPJ Terengganu di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin. 

Pada 3 Mei lalu, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan inisiatif pembaharuan LMM untuk tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran istimewa hanya RM270 iaitu penjimatan RM30.

Dalam pada itu, Zailani berkata, JPJ menyasarkan kutipan hasil lebih RM5 bilion pada tahun ini berbanding RM4.92 bilion yang berjaya dikutip sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 64.5 peratus daripada RM4.92 bilion itu diperoleh daripada kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan cukai jalan.

“JPJ yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan penambahbaikan yang dilakukan setakat ini terutama dari aspek inisiatif pendigitalan untuk memudahkan orang ramai.

“Dari segi penguatkuasaan pula, pelbagai inovasi sistem dilaksanakan untuk memantau tarikh memperbaharui cukai jalan dan LKM kepada mereka yang gagal berbuat demikian dan semua ini akan membantu capai sasaran (kutipan hasil tersebut),” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN