80% produk makanan mahal jika harga gula diapung - Utusan Malaysia

80% produk makanan mahal jika harga gula diapung

Jika kerajaan benarkan pengapungan harga gula, lebih 80 peratus produk makanan naik harga. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu berhati-hati dan tidak tunduk kepada desakan pemain industri yang menjadikan alasan ketiadaan subsidi gula dan kenaikan harga bahan mentah serta gas asli untuk mengapungkan harga barang tersebut.

Ini selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub pada 25 Mei lalu dalam kenyataan berkata, kerajaan bersetuju dengan permohonan dua syarikat pengeluar gula tempatan untuk mengeluarkan produk gula putih bertapis jernih atau gula premium yang harganya tidak dikawal sebaliknya ditentukan oleh pasaran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, gula putih bertapis sedia ada jenis kasar dan halus adalah bahan penting hampir 80 peratus produk makanan di negara ini.

Justeru, menurut beliau, kerajaan digesa mengkaji secara menyeluruh sebarang polisi bagi memastikan pengeluaran, bekalan serta harga gula kasar dan halus dapat dikawal tanpa mengapungkan harganya demi kelangsungan hidup rakyat kerana dikhuatiri jika diapungkan akan meningkatkan harga 80 peratus produk makanan di pasaran negara yang berasaskan gula.

GULA PUTIH

“Kalau berdasarkan trend semasa gula putih premium sudah diperkenalkan malah subsidi gula juga sudah dihapuskan, pemain industri mungkin akan mendesak kerajaan mengapungkan harga gula putih kasar pula. Jika diapungkan akan menjejaskan rakyat.

“Hampir 80 peratus produk makanan seluruh negara menggunakan gula sebagai bahan asas. Apatah lagi makanan dan minuman di restoran-restoran juga banyak berasaskan gula. Jadi, perlu kaji secara berhati-hati sebelum mahu buat dasar berkenaan komoditi penting ini,” katanya di sini, semalam.

Memberi contoh, Mohd. Ridzuan berkata, dalam soal keputusan kerajaan mengapungkan harga ayam dan telur, perkara ini berlaku selepas penternak memberi alasan berdepan kos dedak dan kos operasi yang tinggi.

“Mana-mana industri akan menggunakan seribu macam alasan untuk mendesak kerajaan mengapungkan harga. Seperti sektor ayam dan telur, mereka beralasan harga dedak terlalu tinggi untuk desak kerajaan apungkan harganya. Jadi di sektor gula pun, gergasi-gergasi industri pasti beralasan yang sama,” katanya.

Pada 16 Mei lalu, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) menjelaskan industri gula tempatan tidak lagi menerima subsidi daripada kerajaan sejak 2013.

Dalam satu kenyataan, MSM berkata, mereka beroperasi dalam industri terkawal yang ditadbir oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN