65 peratus penagih dadah dikesan guna dadah sintetik - Utusan Malaysia

65 peratus penagih dadah dikesan guna dadah sintetik

MAJLIS Perasmian Sambutan Hari Antidadah 2023 Peringkat Negeri Sembilan dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah yang diadakan di Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sejumlah 65 peratus penagih dadah di negara ini dikesan menggunakan dadah sintetik ataupun perangsang (stimulan) jenis amphetamine.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, apa yang membimbangkan, penggunaan dadah sintetik itu lebih memudaratkan berbanding dadah organik kerana ia menyebabkan masalah mental.

Tambahnya lagi, kos merawat masalah ketagihan serta kepulihan penagih dadah sintetik seperti syabu dan pil kuda itu juga lebih tinggi..

“Sasaran AADK sekarang ini adalah untuk menurunkan nisbah bilangan penagih dadah menjelang tahun 2025. Sasaran negara adalah untuk mencapai kurang daripada 400 penagih dadah bagi setiap 100,000 orang penduduk, sekarang kita ada 430 keseluruhan penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Antidadah 2023 Peringkat Negeri Sembilan dan Karnival Mega Belia Beliawanis MPKK DUN Seri Menanti Bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Sutekno berkata, AADK masih mengekalkan tema Lebih Baik Cegah bagi Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2023 dengan mesej Pencegahan Dadah Bermula Di Rumah.

“Sudah pasti dalam usaha pencegahan ini, memerlukan pemerkasaan tindakan awalan yang bermula dari rumah. Tugas dan tanggungjawab yang dimainkan ibu-bapa, bermula dari keluarga kecil sehinggalah ia berkembang dan meluas kepada tanggungjawab komuniti,” katanya.

Aminuddin sementara itu menyeru kepada semua ahli masyarakat untuk bertanggungjawab dan mengambil peduli dalam memastikan persekitaran tempat tinggal, keluarga, institusi pendidikan dan tempat kerja bebas daripada ancaman dadah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.