11 minit seorang warga asing masuk Malaysia - Utusan Malaysia

11 minit seorang warga asing masuk Malaysia

Kemasukan warga asing ke Malaysia direkodkan seorang bagi setiap 11 minit . – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kemasukan warga asing 11 minit bagi setiap seorang sekali gus mengatasi rekod di Singapura dan Thailand masing-masing 19 minit dan 28 minit bagi seorang pendatang asing.

Menerusi portal worldpopulationreview.com, Vietnam pula merekodkan kemasukan seorang pendatang pada setiap enam minit, Indonesia 11 minit manakala Myanmar 15 minit.

Kemasukan warga asing itu adalah disebabkan perniagaan, pelancongan, lawatan sosial dan pekerjaan dengan rekod Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan, sebanyak 330,261 permohonan e-Visa diluluskan; 220,672 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS); 6,992 pas pelajar, 23,171 Pas Lawatan (Sosial) dan 156 permit masuk untuk dua bulan pertama tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, peraturan dan masyarakat yang ‘peramah’ antara punca kemasukan warga asing lebih tinggi di negara ini berbanding negara jiran.

Menurut beliau, ini kerana warga asing boleh ‘bercampur’ dengan masyarakat serta dapat mencari pendapatan dengan mudah sehingga ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan.

“Malaysia banyak sumber asli jadi banyak perkara yang boleh diterokai untuk jalankan perniagaan. Kedua, kita negara yang ‘peramah’, bukannya jenis buru warga asing dan mereka juga boleh bercampur dengan rakyat tempatan.

PENDUDUK TETAP

“Warga asing juga lebih mudah memiliki taraf penduduk tetap (PR) dan berkahwin dengan warga tempatan berbanding negara maju yang lain.

“Selain itu, peluang pekerjaan untuk warga asing juga banyak seperti di ladang, sektor makanan dan minuman (F&B) dan buruh kasar, maka sebab itu ramai lagi rakyat asing masih cuba nasib di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abu Sofian yang juga Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) berkata, kerajaan bagaimanapun disaran mengetatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan risiko yang tidak diingini membabitkan warga asing.

“Kita ada undang-undang, cuma penguatkuasaan kurang. Jadi, lihat semula kalau mahu ambil tindakan.

“Mereka boleh datang, tetapi ikut prosedur. Bukan guna pas pelancong, tetapi bekerja di sini,” katanya.

PATI

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 163,862 PATI pelbagai negara yang `sengaja’ tinggal melebihi tempoh di negara ini ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga 27 Mac lalu.

Kesemua PATI berkenaan menggunakan Visa Dengan Rujukan (VDR), Pas Lawatan Sosial (PLS) atau sebarang pas yang sah untuk memasuki negara ini sebelum tidak mahu pulang ke negara asal walaupun dokumen perjalanan mereka tamat tempoh.

Selain itu, seramai 1,459,196 pekerja asing direkodkan setakat 31 Disember tahun lalu dengan Kementerian Sumber Manusia sudah meluluskan sebanyak 995,396 kuota penggajian pekerja asing, sehingga 14 Mac lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), Datuk Noor Zaleha Baharuddin berkata, mana-mana warga asing yang masuk ke negara ini selain daripada tujuan pelancongan dibimbangi boleh menyumbang kerugian kepada negara.

“Misalnya kalau masuk bekerja, wang yang mereka dapat itu dihantar ke negaranya, jadi wang kita banyak mengalir ke luar negara.

PELANCONGAN

“Kalau tujuan pelancongan itu sangat bagus, maka kerajaan patut galakkan mereka datang lebih kerap sebab menyumbang aliran mata wang masuk ke negara kita.

“Jadi mungkin kerajaan boleh mudahkan pengeluaran visa untuk pelancong yang banyak sumbang kepada ekonomi dan pendapatan negara,” katanya.

Kata beliau, kerajaan pada masa sama perlu menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara ini untuk melakukan projek pelancongan.

Misalnya, kata beliau, projek pembangunan hotel, taman tema atau projek lain yang boleh menarik kunjungan pelancong dengan lebih ramai.

“Tetapi, pada masa sama Jabatan Imigresen kita kena permudahkan kemasukan supaya elakkan pelancong tidak beratur panjang.

“Pihak Imigresen juga kena cari jalan untuk atasi masalah mereka yang tidak peramah dalam menyambut tetamu.

THAILAND

“Kalau pergi Singapura dan Thailand, mereka ada cara tersendiri untuk sambut, tetapi sekarang sudah tidak ada,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, anggaran yang dikeluarkan laman web itu bagaimanapun disifatkan tidak tepat dengan jumlah di negara ini.

Katanya, ini kerana angka sebenar lebih tinggi daripada apa yang dikatakan laman berkenaan.

“144 minit satu hari dibahagikan kepada 11 minit seorang, maka satu hari dapat 131 orang. Jika jumlah satu hari itu didarabkan dengan 365 hari maka satu tahun cuma berjumlah 47,815 orang masuk Malaysia.

“Tetapi, kalau dikira jumlah pembantu rumah saja yang dibawa masuk dalam tempoh setahun, jumlah mereka menghampiri 50,000 orang.

“Jadi ini angka untuk pembantu rumah sahaja, sedangkan pekerja asing masuk antara 300,000 hingga 4000,000 pada tahun lepas.

“Itu baru pekerja asing, tidak termasuk sektor yang lain seperti pelancongan. Jadi, angka sebenar pendatang asing memasuki Malaysia mungkin lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×