PORT DICKSON: Seorang lelaki warganegara Pakistan dijatuhkan hukuman penjara selama lima hari dan denda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini selepas dia mengaku bersalah mencuri di sebuah pasar raya di Lukut, di sini, 14 April lalu.
Tertuduh, Muhammad Sajid Qamar, 32, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.
Berdasarkan pertuduhan, pada tarikh berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang di sebuah pasar raya di Lukut, telah mencuri di dalam sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat perniagaan.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda.
Mengikut fakta kes, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, pengadu dimaklumkan oleh kakitangannya terdapat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan telah meminta beberapa kakitangan lain untuk memerhatikan gerak geri tertuduh.
Selepas tertuduh membuat pembayaran di kaunter, pengadu telah menahan tertuduh dan meminta tertuduh untuk membuka beg namun tertuduh enggan memberikan kerjasama.
Pengadu telah meminta bantuan dari kakitangan lain untuk membuat pemeriksaan beg dan setelah dua kali pengadu meminta barulah tertuduh bersetuju membuka beg.
Pemeriksaan mendapati barangan dalam beg masih tidak dibayar kerana tidak mempunyai plastik dan barang yang di dalam plastik sahaja dibayar dan mempunyai resit.
Pengadu kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya dan tertuduh ditangkap sejurus selepas itu.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jiwan Kaur dalam hujahannya memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang telah menyebabkan kerugian bernilai RM448.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lima hari dari tarikh ditangkap dan denda RM2,500 atau jika gagal bayar penjara selama lapan bulan akan dikenakan.-UTUSAN.