PETALING JAYA: Pas berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh yang memudahkan rakyat pulang mengundi sempena pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Penerangan Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara itu bagi membolehkan orang ramai dapat melaksanakan hak mereka dengan lebih selesa.
“Jangan jadi macam Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang dibuat hari Rabu iaitu hari bekerja.
“Jika betul mahu laksanakan hak rakyat, bagi tarikh menarik dan sesuai kepada mereka.
“Perlu tarikh sesuai supaya dapat beri kelapangan rakyat tunaikan hak mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kesemua enam negeri dijangka membubarkan DUN masing-masing pada Jun untuk memberi laluan kepada PRN.
Negeri-negeri berkenaan adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.- UTUSAN











