SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi tumpuan bagi menyelesaikan permohonan taraf kewarganegaraan di negara ini melibatkan kategori anak angkat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kategori tersebut meliputi jumlah tertinggi daripada keseluruhan 133,436 permohonan taraf kewarganegaraan yang masih belum diselesaikan setakat ini.
“Saya bertekad untuk beri keutamaan kepada kategori anak angkat iaitu yang paling banyak sebenarnya daripada kategori ini. Misalnya tadi, yang menerima surat kelulusan itu apabila saya tanya dalam kalangan penerima, sejak bila mereka menjaga anak angkat tersebut, mereka katakan sejak usia anak mereka satu hari.
“Apabila ditanyakan sudah berapa tahun memohon ada yang katakan sudah 12 tahun dan sembilan tahun, jadi bayangkan kesan kepada mereka selama ini.
“Apabila kami keluarkan surat kelulusan warganegara ini bermaksud memberi akses kepada pendidikan dan kesihatan dan nanti kehidupan mereka lebih ada kepastian,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau menambah, satu lagi kategori yang akan menjadi tumpuan pihak kementerian untuk diselesaikan adalah melibatkan pemohon yang lahir sebelum kemerdekaan negara.
“Satu lagi kategori yang saya pertimbangkan untuk diberikan keutamaan adalah daripada mereka yang lahir sebelum merdeka, mereka ini sudah mencecah umur sehingga 80 tahun, masih lagi belum selesai, jumlah mereka tidak ramai dalam lingkungan 3,000 orang sahaja, ini juga menjadi keutamaan.
“Penting saya sebut dalam mempertimbangkan proses permohonan kewarganegaraan, aspek yg menjadi panduan kami adalah kesemua itu tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut seksyen-seksyen berkaitan.
“Fasal-fasal itu yang memandu KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam memproses dan menilai,. Permohonan itu angkanya besar tetapi gesaan saya kepada pegawai-pegawai KDN adalah untuk memberikan tumpuan ini dan cuba menyelesaikan secepat mungkin,” katanya.
Saifuddin Nasution menambah, beliau telah meletakkan sasaran untuk menyelesaikan 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan pada tahun ini dan setakat tiga bulan beliau menerajui kepemimpinan KDN, sebanyak 6,079 permohonan telah diberikan kelulusan.-UTUSAN.