Syed Saddiq dibenar hadir persidangan antarabangsa

Syed Saddiq dibenar hadir persidangan antarabangsa

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mendapatkan sementara pasport untuk menghadiri dua persidangan antarabangsa di Switzerland dan Korea Selatan pada 1 dan 15 Mei ini.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq, 30, dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. ‘Afif Ali.

“Mahkamah membenarkan permohonan pemohon (Syed Saddiq) untuk mendapatkan pelepasan pasport dan pemohon perlu memulangkan pasport kepada mahkamah pada 20 Mei ini,” kata hakim itu.

Terdahulu, Wei Jiet berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Syed Saddiq untuk mendapatkan sementara pasport untuk ke Switzerland dan Korea Selatan.

Sementara itu, Mohd. ‘Afif mengesahkan bahawa tiada bantahan daripada pihak pendakwaan selaku responden.

Berdasarkan afidavit, Syed Saddiq memohon untuk mendapatkan pasport sementara untuk ke Switzerland pada 1 Mei bagi menghadiri persidangan polisi dadah antarabangsa dan kembali pada 6 Mei ini.

Beliau juga akan ke Korea Selatan pada 15 Mei dan kembali ke negara ini pada 19 Mei untuk berucap pada persidangan antarabangsa anjuran Centre for Asia Leadership iaitu `2023 Asian Leadership Conference’.

Persidangan itu melibatkan lebih 350 pemimpin kerajaan, politik, perniagaan dan komuniti yang akan berbincang mengenai isu yang dihadapi Asia kini.

Syed Saddiq memerlukan pasport dalam masa terdekat kerana perlu memohon visa untuk melawat dua negara itu.

Ahli Parlimen itu sedang menunggu keputusan pada akhir kes pembelaan yang akan diumumkan pada satu tarikh lain.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Rafiq Hakim ketika itu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu.

Anak kelahiran Johor Bahru itu, didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya hasil aktiviti haram.

Kejadian didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN