Syarikat, pengarah didakwa tawar rasuah RM500,000 setahun - Utusan Malaysia

Syarikat, pengarah didakwa tawar rasuah RM500,000 setahun

ABDUL Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan menawarkan rasuah RM500,000.  - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat dan pengarahnya didakwa di dua mahkamah sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan termasuk menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa.

Wang itu didakwa bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim-Hakim Suzana Hussain dan Rozina Ayob.

Di hadapan Rozina, Hydroshoppe didakwa sebagai suatu organisasi komersial me­lakukan kesalahan bersekutu dengan Abdul Hamid Shaikh iaitu menawarkan suapan RM500,000 setahun kepada Datuk Tan Ser Lay, 60.

Menurut pertuduhan, wang itu ditawarkan untuk tempoh 15 tahun bagi faedah kepada Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.

KESALAHAN

Oleh demikian, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di hadapan Suzana, Abdul Hamid Shaikh pula didakwa menawarkan RM500,000 kepada individu serupa dalam tempoh sama sebagai doro­ngan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn.Bhd.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Lot 4G9, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara Julai dan Ogos 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN