Suri rumah guna lambang Datuk palsu didakwa

Suri rumah guna lambang Datuk palsu didakwa

TERTUDUH diiringi anggota polis semasa hadir untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menggunakan lambang bertulis Ahli Majlis Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim palsu pada dua buah keretanya pada tahun lalu.

Tertuduh, Suraya Ibrahim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan lambang bertulis ahli-ahli Dato-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim yang tidak wujud dan tidak diiktiraf di bawah Enakmen Lambang-Lambang Dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977).

Lambang tersebut diletakkan pada dua buah kereta yang digunakan oleh Suraya iaitu kereta jenis Mercedez Benz dan BMW di sebuah rumah di Kampung Bawah Lembah Bunut Payong di sini pada 25 Jun 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5B(5) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Disalahguna) 1977 (Kelantan Enakmen Bil 8/1977). 

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 50,000 dan dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala teruduh diwakili peguam bela, Muhammad Yusoff Abdullah.

Terdahulu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan sebanyak RM70,000 atas pertuduhan yang dihadapi Suraya.

Muhammad Yusoff dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan serendah yang mungkin kerana anak guamnya sudah berpisah dengan suami, tidak bekerja dan  mempunyai penyakit darah tinggi yang kronik.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. 

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Media sebelum ini melaporkan, gara-gara mempamerkan lambang dan lencana Ahli Majlis Dato’-Dato’ Negeri Kelantan Darul Naim pada dua buah keretanya, seorang wanita ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai individu berpangkat Datuk pada tahun lalu.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN