Sains laksana pelan tindakan kontigensi tangani gangguan bekalan air - Utusan Malaysia

Sains laksana pelan tindakan kontigensi tangani gangguan bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bagi tujuan memantau dan menangani sebarang gangguan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) akan mengaktifkan Pelan Tindakan Kontigensi (PTK) bermula dari 20 sehingga 25 April ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, sepanjang enam hari pelaksanaan PTK itu, petugas-petugas Sains diletakkan dalam keadaan bersedia 24 jam bagi memastikan gangguan yang berlaku pada tahap minimum.

Jelas beliau, bagi tempoh sebelum PTK ini, Sains terus melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berterusan secara bersepadu melibatkan aset dan infrastruktur air.

“Ia termasuklah pemantauan paras kolam, melakukan servis injap kawalan tekanan dan memastikan rumah-rumah pam dalam keadaan baik terutamanya menjelang perayaan. 

“Sains berusaha menghentikan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang tempoh PTK yang boleh mengganggu operasi loji rawatan air dan sistem agihan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rozita, pihak Sains menasihatkan para pelanggan agar menggunakan air secara berhemat dan melakukan persediaan bekalan air simpanan dalam tempoh 24 jam sekiranya berlaku gangguan bekalan air disebabkan perkara di luar jangka.

“Perkara tersebut seperti pencemaran kualiti air mentah yang mengakibatkan loji rawatan air terpaksa mengurangkan pengeluaran atau menutup operasi, berlakunya tekanan air rendah disebabkan oleh penggunaan air berganda pada waktu puncak serta berpunca dari gangguan bekalan elektrik di loji dan rumah pam selain insiden paip pecah,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, kerjasama daripada semua pelanggan adalah sangat diharapkan agar melaporkan sebarang insiden paip pecah kepada pihak Sains agar tindakan segera dapat diambil.

“Dalam tempoh PTK dilaksanakan, Sains telah mengaturkan persediaan dengan 10 buah lori tangki dan 65 buah tangki statik yang akan ditempatkan di kawasan tinggi dan di penghujung sistem retikulasi serta beberapa lokasi yang telah dikenal pasti sering berlaku masalah tekanan air rendah ketika musim perayaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN