PRN: Shahidan tiada dalam senarai calon Pas Selangor - Utusan Malaysia

PRN: Shahidan tiada dalam senarai calon Pas Selangor

NAMA Shahidan Kassim disahkan tiada dalam senarai pendek nama calon Pas di Selangor untuk hadapi pilihan raya negeri walaupun Ahli Parlimen Arau itu menyatakan berhasrat untuk bertanding di negeri itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nama Datuk Seri Shahidan Kassim tiada dalam senarai pendek calon Pas Selangor yang bakal dinamakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, pihaknya sudah mengenal pasti calon yang akan diletakkan di kerusi ditandingi parti tersebut.

Menurut beliau, setakat ini tiada perbincangan di peringkat negeri untuk meletakkan Shahidan sebagai calon Pas di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Setakat ini, calon yang disenarai pendek Pas Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Datuk Seri Shahidan.

“Bagaimanapun, di peringkat pusat kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkan beliau sebagai calon di mana-mana kerusi DUN untuk PRN akan datang,” katanya.

Roslan Shahir berkata, berdasarkan kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, Shahidan hanya menawarkan diri untuk bertanding jika diperlukan untuk membantu pada pilihan raya tersebut bukannya mengumumkan akan bertanding.­

“Beliau hanya menawarkan diri untuk diletakkan sebagai calon, tapi jika (Pas) pusat berpandangan bahawa Datuk Seri Shahidan boleh membantu menawan Selangor kami tiada masalah untuk memberi sokongan,” katanya.

SENARAI

Shahidan yang namanya digugurkan daripada senarai calon Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu membuat kejutan apabila bertanding menggunakan tiket Pas di Parlimen Arau.

Semalam, ahli politik veteran itu sekali lagi membuat kejutan apabila menzahirkan hasrat bertanding pada PRN Selangor yang dikhabarkan diletakkan sebagai calon DUN Semenyih.

“Kalau (pucuk pimpinan) PN memerlukan saya bertanding, saya akan lawan, tetapi PN mesti kuasai semua negeri ini (Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan) dan jika sumbangan saya dapat mewujudkan gelombang ‘dahsyat’, apa salahnya?

“Namun begitu, sekiranya saya bertanding, bukan niat saya hendak pegang jawatan, tetapi hendak pastikan PN menang, terus-terang saya katakan saya tak perlu berebut jawatan dengan sesiapa kerana satu ketika, saya sendiri pernah menjadi pemimpin besar,” katanya.

Dalam pada itu, Roslan Shahir turut memaklumkan bahawa pembahagian kerusi DUN di Selangor antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan sudah hampir selesai.

“Ada dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan. Kami bersepakat menyerahkan keputusan kepada Pas pusat untuk menyelesaikannya.

“Apabila pembahagian kerusi selesai barulah proses memperkenalkan calon dibuat setelah senarai calon tersebut mendapat ‘green light’ daripada kepimpinan tertinggi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN