PRN: PH di enam negeri diarah mulakan rundingan kerusi dengan BN - Utusan Malaysia

PRN: PH di enam negeri diarah mulakan rundingan kerusi dengan BN

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) di enam buah negeri telah diminta untuk memulakan rundingan pengagihan kerusi bersama Barisan Nasional (BN) bagi persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses rundingan telahpun dilakukan di peringkat pusat di antara PH dan BN berdasarkan parameter serta formula yang telah ditetapkan dan proses rundingan itu kini dilihat perlu dimulakan juga di peringkat negeri.

“Arahan Pusat, di peringkat negeri adalah supaya mereka memasuki pusingan rundingan, namapun berunding, mana-mana pihak akan menyenaraikan wishlist mereka, sebab itu berunding.

“Di peringkat negeri, kami mengarahkan untuk memulakan rundingan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan. Mana-mana yang mencapai persetujuan kami anggap bersetuju, dan mana-mana yang belum bersetuju, arahan kami supaya diangkat ke jawatankuasa di peringkat Pusat untuk dimuktamadkan.

“Apa yang paling penting, sebelum hari penamaan calon kita akan bertanding dengan lawan politik kita dan sesama kita (PH dan BN) tidak akan berlaku petembungan. Soal tuntutan lebih satu dua kerusi itu saya anggap proses biasa dalam mana-mana rundingan kerusi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias baru-baru ini berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan awal dengan pihak PH di negeri ini dalam mencari persefahaman untuk bersama menghadapi PRN akan datang.

Katanya, dalam pertemuannya bersama Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun itu, beliau turut membawa hasrat supaya UMNO dapat diberikan tambahan dua kerusi untuk ditandingi kelak daripada 16 buah kerusi sedia ada dimenangi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Selepas pilihan raya umum itu, PH memenangi sebanyak 20 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini dan selebihnya dimenangi oleh BN.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menjelaskan, rekod keputusan semasa PRU14 menjadi antara formula yang telah ditetapkan bagi rundingan kerusi di antara PH dan BN yang telah diadakan di peringkat Pusat.

“Jadi mana-mana kerusi yang dimenangi oleh satu-satu parti, kerusi itu akan ditandingi sekali lagi oleh parti berkenaan, kalau di Negeri Sembilan, kerusi milik UMNO mereka menang pada 2018, (milik) UMNO lah kerusi itu.

“Kalau ia dimenangi oleh DAP, Amanah atau Keadilan, maka ia milik kami, itu prinsip pertama dan ada beberapa prinsip lain yang saya tidak perincikan. Apa yang saya boleh sebut sudah ada proses rundingan di peringkat Pusat dengan parameter itu,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN