PRN Negeri Sembilan: PH akan bincang permintaan UMNO mahu tambahan dua kerusi - Utusan Malaysia

PRN Negeri Sembilan: PH akan bincang permintaan UMNO mahu tambahan dua kerusi

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permintaan UMNO Negeri Sembilan supaya dapat diberikan tambahan dua buah kerusi lagi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, permintaan tersebut ada diterima beliau sewaktu pertemuan dirinya bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias baru-baru ini.

“Memang pertemuan telah berlaku dan Alhamdulillah telah berjalan dengan baik dan ada persefahaman munasabah. Biasalah dalam perbincangan tentu ada permintaan dikemukakan, saya akan membawa perkara tersebut bagi pertimbangan rakan-rakan dalam PH.

“Insya-Allah akan dibuat keputusan di peringkat kepemimpinan tertinggi parti. Biasa dalam perbincangan akan ada permintaan, itu normal dalam apa-apa juga perjumpaan. 

“Ia akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH dan akan ambil masa dalam sebulan lagi, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Peringkat Negeri Sembilan di Sikamat di sini hari ini.

Jalaluddin baru-baru ini dalam sidang akhbar memaklumkan, UMNO Negeri Sembilan telah mengadakan pertemuan dan perbincangan awal dengan pihak PH di negeri ini dalam mencari persefahaman untuk bersama menghadapi PRN akan datang.

Ahli Parlimen Jelebu itu menambah, persefahaman yang mahu dibentuk di antara Barisan Nasional (BN) dan PH itu adalah bagi memastikan kerjasama kedua-dua parti itu kelak dapat memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan selain memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan kerusi di antara PH dan BN pada PRN itu nanti.

Katanya lagi, dalam pertemuan dengan Aminuddin itu, beliau turut membawa hasrat supaya UMNO dapat diberikan tambahan dua kerusi untuk ditandingi kelak daripada 16 buah kerusi sedia ada dimenangi BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Selepas pilihan raya umum itu, PH memenangi sebanyak 20 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di negeri ini dan selebihnya dimenangi oleh BN.

Sementara itu, Aminuddin yang juga  Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan berkata, kerjasama di antara PH dan BN di negeri ini semakin kukuh selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Negeri Sembilan yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran dan Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jelebu di Simpang Pertang, Jelebu, semalam.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta kepemimpinan dari kedua-dua parti tersebut.

“Ia menggambarkan kerjasama yang mula terjalin, saya yakin ia akan dapat diperkuatkan lagi melalui agenda jentera pilihan raya dan hubungan di peringkat akar umbi kedua-dua parti,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN