PRN: DAP tidak mahu timbul polemik pembahagian kerusi - Utusan Malaysia

PRN: DAP tidak mahu timbul polemik pembahagian kerusi

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) bergambar bersama kepemimpinan DAP Negeri Sembilan dan peserta Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan yang diadakan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: DAP tidak mahu soal perundingan pembahagian kerusi di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri kelak menjadi satu polemik.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesepakatan telahpun dicapai dalam kalangan parti-parti terlibat bahawa dalam soal perundingan kerusi ia perlulah mengikut parameter dan prinsip dipersetujui menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk sebelum ini.

Bagaimanapun jelas beliau, sebarang hasrat atau permintaan yang dibawa oleh mana-mana pihak dalam perundingan tersebut ia tetap diterima namun perlu dirujuk kepada kepemimpinan Pusat bagi diputuskan kemudiannya.

“Apabila memasuki apa-apa perundingan kerusi sudah tentu ada parameter dan prinsip yang dipersetujui, jadi antara prinsip asas yang dipersetujui adalah kerusi-kerusi terlibat akan ditandingi oleh parti yang menang sebelum ini.

“Misalnya kalau kerusi dimenangi oleh BN takkan kami pergi minta kerusi itu, ia akan menimbulkan masalah kalau kita minta kerusi penyandang. Prinsip asas yang telah dipersetujui ialah kita hormati penyandang jawatan iaitu kerusi-kerusi penyandang akan terus ditandingi oleh parti yang menang.

“Bagi kerusi yang tidak dimenangi samada oleh PH atau BN maka itu kita berunding, umpamanya banyak kerusi di Kedah, Terengganu dan Kelantan sudah tentu perlu berunding. Itu yang telah dipersetujui secara prinsipnya, jika ada apa-apa pandangan berlainan dan sebagainya itu boleh rujuk kepada kepemimpinan Pusat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Diminta memberikan komen mengenai kenyataan UMNO Negeri Sembilan yang meminta tambahan dua kerusi diberikan kepada BN dalam PRN kelak, Siew Fook menjelaskan DAP tidak memberikan respon mengenainya kerana berpandangan ia tidak perlu dijadikan sebagai polemik.

“Setiap kali ada kenyataan, sudah tentu ada pelbagai kenyataan daripada pelbagai pihak, itu tiada masalah, boleh bebas suara, tiada sekatan untuk menyatakan hasrat.

“Tetapi akhirnya keputusan berpandukan prinsip jadi saya menaruh keyakinan bahawa pucuk pimpinan Kerajaan Perpaduan akan dapat capai satu konsensus yang baik untuk hadapi PRN berdasarkan prinsip yang telah pun kita persetujui secara bersama,” katanya.

Jelas beliau lagi,  berbanding di lima buah negeri lain, perundingan kerusi di Negeri Sembilan dijangka lebih mudah untuk diselesaikan kerana semua kerusi penyandang adalah sama ada daripada PH ataupun BN.

 Sementara itu, kita berucap pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, gabungan PH dan gabungan BN perlu capai kesepakatan dan persefahaman untuk berlakunya pertindihan kerusi dan mengelak untuk berlawan antara satu sama lain dalam PRN nanti.

“Jadi tidak perlu goyah dan kecewa terhadap apa sahaja yang diperkatakan, apa yang penting bukan cakap-cakap itu, yang penting adalah keputusan akhir yang sudah tentu berlandaskan kepada beberapa prinsip yang dipersetujui secara dasar dan bersama.

“Tak mahu jadi polemik dalam kalangan parti-parti Kerajaan Perpaduan kerana yang penting kita mesti beri keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan ini boleh duduk bersama, boleh bekerjasama dan boleh selesaikan isu secara aman dan baik, itu yang saya harapkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN