KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) sedia mempertaruhkan calon boleh menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, calon yang akan ditampilkan itu terdiri daripada semua peringkat sama ada golongan muda atau sebaliknya.
“Ia turut terbuka kepada individu yang pernah menjadi calon semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Jadi kita ada jawatankuasa calon akan berbincang dan bermuafakat untuk memilih calon yang betul-betul boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bazar Rahmah Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin memberitahu, pihaknya akan berkerjasama untuk membina jentera dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk PRN kali ini.
Katanya, gabungan PH dan BN itu akan memberikan sinergi baharu pada PRN nanti.
“Insya-Allah jentera kita akan bertarung dengan baik nanti,” ujarnya.-UTUSAN










