Perarakan kavadi: Polis minta tangguh bukan halang - Utusan Malaysia

Perarakan kavadi: Polis minta tangguh bukan halang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis tidak menghalang kaum Hindu menunaikan sembahyang hajat sempena perayaan Idugathu Kaliamman Buntong  sebalik hanya menasihatkan supaya acara itu ditangguhkan selepas Hari Raya Aidilfitri

Oleh itu, penyebaran maklumat bahawa “Ketua Polis Daerah Ipoh menghalang kaum Hindu menunaikan sembahyang hajat di Buntong dalam perayaan tahunan kuil Idugathu Kaliamman Buntong” yang tular di aplikasi WhatsApp  tidak benar dan berunsur fitnah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kandungan penulisan yang tular sejak semalam itu berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti polis daerah Ipoh.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) Daerah Ipoh menghormati hak menjalankan aktiviti keagamaan bagi setiap individu di negara ini yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk mengadakan upacara sembahyang keagamaan.

“Mengenai upacara itu, PDRM Ipoh hanya memberi nasihat dan meminta kerjasama daripada pihak kuil supaya menangguhkan perarakan chariot dan kavadi pada 21 hingga 23 April kerana pertembungan dengan tarikh perayaan Hari Raya Aidilfitri 1444h dengan jangkaan kehadiran seramai 25,000 penganut,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh hari ini.

Menurut beliau, jika tidak ditangguhkan, perarakan yang dirancang akan meningkatkan aliran trafik dan menyebabkan kesesakan luar biasa serta risiko keselamatan ketenteraman awam di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis tiada halangan terhadap sebarang aktiviti keagamaan yang diadakan di dalam kawasan kuil berkenaan.

Jelasnya, wakil-wakil pihak penganjur aktiviti keagamaan itu juga telah diterangkan dengan jelas tentang perkara ini dan mereka memahami pandangan serta bersetuju dengan nasihat pihak polis.

Yahaya berkata, pihak penganjur juga telah menafikan kepada pihak polis tentang keterlibatan mereka dalam penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah itu.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN