JOHOR BAHRU: Seorang penyelia syarikat swasta mengalami kerugian berjumlah RM92,220 ditipu satu sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan sambilan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima aduan tentang kejadian itu daripada pengadu yang berusia 41 tahun, semalam.
Menurutnya, mangsa mula menunjukkan minat kerana diperdaya bahawa kerja sambilan itu dapat memberi pulangan lumayan.
“Mangsa menerima pesanan ringkas pada 13 April daripada sebuah syarikat yang menawarkan kerja sambilan, iaitu dengan menyiapkan tugasan dan dia dijanjikan pulangan dan komisen segera.
“Mangsa berminat untuk sertai sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram dan diberikan penerangan lanjut mengenai tugasan tersebut. Mangsa kemudiannya mengambil pakej menyiapkan empat tugasan dengan bayaran RM92,220.
“Oleh itu, dalam tempoh 16 hingga 17 April, mangsa telah membuat 10 transaksi ke dalam enam akaun berbeza dengan jumlah sebanyak RM92,220,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila kesemua tugasan diambil telah diselesaikan namun tidak menerima pulangan seperti yang dijanjikan.
“Sebaliknya, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lain sebanyak RM46,580 bagi proses pemulangan modal serta komisen,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis juga akan menyiasat penglibatan keldai akaun dan tindakan akan diambil kepada pemilik akaun terlibat, katanya. – UTUSAN