Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan diperinci

Penubuhan suruhanjaya, reformasi Kesihatan diperinci

Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan diperincikan sebagai maklum balas kepada tuntutan dikemukakan Sekretariat Doktor Hartal Kontrak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penubuhan sebuah suruhanjaya dan reformasi sistem kesihatan negara akan diperincikan apabila Kertas Putih Kesihatan dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Itu jaminan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa sebagai maklum balas kepada tuntutan dikemukakan Sekretariat Doktor Hartal Kontrak melalui memorandum yang diserahkan sendiri kepada beliau, Selasa lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Zaliha berkata, pihaknya mengambil maklum kesemua tiga tuntutan sekretariat berkenaan yang antara lain meminta untuk menganggotai Jawatankuasa Pe­ringkat Tertinggi (HLC) bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.

Katanya, sekretariat itu turut menuntut pihak kementerian dan kerajaan melihat permasalahan pegawai dan staf perubatan kontrak bagi skim-skim lain dalam perkhidmatan kesihatan.

“Kita ambil maklum dan menjawab dalam hal-hal yang dikemukakan mereka. Pertemuan dengan mereka berlangsung dengan baik.

“Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan diperincikan apabila Kertas Putih Kesihatan dibentang dan diluluskan di Parlimen kelak,” katanya di sini semalam.

Selasa lalu, Sekretariat Sekretariat Doktor Hartal Kontrak diketuai Dr. Muhammad Yassin menyampaikan memorandum kepada Dr. Zaliha menerusi pertemuan yang berlangsung hampir sejam.

Selepas pertemuan itu, Dr. Muhammad memaklumkan, Kementerian Kesihatan memberitahu pihaknya bahawa penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan sudah dimasukkan ke dalam Kertas Putih Kesihatan dan ia akan dibentang dalam Parlimen.

Selain itu, Kementerian Kesihatan memberi jaminan kepada pihaknya akan ada lebih banyak sesi libat urus bersama termasuk dengan kumpulan-kumpulan perkhidmatan kesihatan lain.

Jelas Dr. Muhammad, Dr. Zaliha juga mahu sekretariat itu menjadi orang tengah antara doktor kontrak, Kementerian Kesihatan dan HLC selepas pihaknya sedar permintaan untuk berada dalam HLC itu amat susah kerana ia adalah jawatankuasa di peringkat Kabinet.

Berhubung keputusan kerajaan menyerap masuk 12,800 doktor kontrak ke jawatan tetap dalam tempoh tiga tahun, Dr. Muhammad berkata, jumlah itu banyak, namun, ia tidak dapat menampung sejumlah 20,300 doktor kontrak sedia ada ketika ini.

Ini kerana menurutnya, setiap tahun ada 5,000 doktor kontrak dilantik dan jangkaan jumlah yang diserap ke jawatan tetap itu hanya meliputi 30 peratus dalam tempoh tiga tahun.

“Jumlah itu masih belum mencukupi, justeru, kita mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan ditubuhkan segera bagi membolehkan ia berkuasa mengawal sumber manusia berkaitan doktor kontrak,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan akan menyerap 12,800 doktor kontrak yang tamat latihan klinikal (housemanship) ke jawatan tetap secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

Langkah itu bermula dengan 4,300 pegawai kontrak akan diserapkan ke jawatan tetap tahun ini dan bakinya akan menyusul sehingga semuanya selesai menjelang 2025 membabitkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

Pada 1 April lalu, Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak dengan jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Sebelum ini, kumpulan dikenali Mogok Doktor Malaysia mendakwa lebih 8,000 doktor kontrak melakukan mogok antara 3 hingga 5 April lalu de­ngan mengambil cuti perubatan atau kecemasan sebagai protes terhadap sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN