PORT DICKSON: Seorang peniaga trak makanan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki kurang siuman di hadapan Medan Selera Lukut, di sini, awal bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh, Sin Poo Kiong, 40, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.
Berdasarkan pertuduhan, pada 1 Mac lalu antara pukul 7.30 malam hingga pukul 7.55 malam bertempat di hadapan Medan Selera Lukut, Pekan Lukut, di sini, dia telah didapati membunuh seorang lelaki berusia 39 tahun.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh manakala tertuduh diwakili peguam V. Segaran.
Jiwan Kaur memohon tiada jaminan ditawarkan kerana membabitkan kes bunuh.
Majistret kemudiannya menetapkan tarikh 19 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Tertuduh akan ditahan reman penjara di Penjara Temiang di Seremban.
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki ditemui mati dipercayai ditikam dengan objek tajam dalam kejadian di hadapan Medan Selera Lukut Jalan Besar di sini pada pukul 7.35 malam, 1 Mac lalu.
Sejurus menerima maklumat tersebut, pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 38 tahun telah terbaring di atas jalan (kawasan parkir) dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Sementara itu, dalam pertuduhan berlainan, Poo Kiong mengaku bersalah atas kesalahan mempunyai perisian judi dalam talian.
Berdasarkan pertuduhan pada 9 September tahun lalu, kira-kira pukul 5 petang, di Media Selera Dataran Segar Huat Huat Food Court, Lukut, tertuduh didapati telah mempunyai perisian perjudian online (918KISS.com) di dalam telefon bimbit.
Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi kesalahan tersebut.-UTUSAN.