KUALA LUMPUR: Penghakiman menentang Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli yang memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak wajar dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ia kerana penghakiman yang dibuat oleh hakim terbabit merupakan antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan pengampunan diraja tersebut.
Pada 31 Mac lalu, Hakim Abdul Rahman merupakan satu-satunya hakim daripada panel lima hakim yang memutuskan bahawa kegagalan panel Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memberikan penangguhan telah menafikan hak Najib untuk mendapat perbicaraan yang adil.
“Ini perkara besar kerana hakim yang agak senior bersetuju dengan apa yang kami nyatakan (dalam permohonan pengampunan diraja) jadi YDPA mungkin akan tergerak untuk melakukan perkara sama.
“Pengampunan ini bukan pengampunan biasa yang mana seseorang yang telah berbuat salah, kemudian mengakui kesalahannya dan insaf, jadi dia memohon belas ihsan untuk dibebaskan.
“Ini adalah satu kes yang mana seseorang itu tidak mendapat perbicaraan yang adil, rayuannya langsung tidak didengar di Mahkamah Persekutuan dan panel Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan akhir itu secara sebelah pihak sahaja. Ia sama seperti apa yang Hakim Abdul Rahman nyatakan (dalam penghakimannya),” ujar Muhammad Shafee.
Tambah peguam itu, pihaknya juga akan turut menghantar penghakiman majoriti permohonan kebenaran semakan Najib bagi membolehkan YDPA membuat perbandingan ‘mana yang lebih baik’.
Peguam terbabit berkata demikian ketika ditemui selepas tamat prosiding kes pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi Najib dan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Najib memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (PP) pada 2 September 2022 selepas Mahkamah Persekutuan terdahulu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sementara itu, merujuk kepada kes hari ini, peguam tersebut menyatakan sekiranya IPIC telah memulangkan wang yang diambil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) maka perkara tersebut sudah tidak ada kena mengena dengan Najib.
“Semua wang yang dinyatakan dalam pertuduhan semuanya berkaitan dengan IPIC, entiti yang mengambilnya. Kalau mereka hendak memulangkannya maka sudah tiada kaitan dengannya (Najib) lagi.
“Jika hendak diikutkan, semua wang yang hilang daripada 1MDB telah diperolehi semula, lebih daripada apa yang hilang. Ini kerana bank-bank yang terlibat seperti AmBAnk, BSI dan Goldmans Sachs selain perlu memulangkan wang, mereka juga perlu membayar penalti.
“Jadi dari segi kerugian, kita okay. Negara juga okay termasuklah 1MDB kerana wang (yang dipulangkan) adalah duit mereka,” kata peguam itu. – UTUSAN










