[VIDEO] Negeri Sembilan tuan rumah Ihtifal KAFA 2023 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Negeri Sembilan tuan rumah Ihtifal KAFA 2023

RUSLAN Said (kiri) dan Mohd. Zaidi ketika melancarkan Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan bakal menjadi tuan rumah penganjuran Ihtifal Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 pada 25 sehingga 27 Ogos depan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ruslan Said berkata, Ihtifal KAFA pada tahun ini merupakan kali kelapan penganjurannya dan dijangka seramai lebih 300 orang yang terdiri daripada kontinjen, hakim, pegawai teknikal dan urusetia akan menyertainya kali ini.

“Saya pasti, penganjuran pada kali ini akan lebih meriah dari sebelumnya dengan persaingan antara pasukan negeri-negeri yang bertanding. 

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana sudi menjadi tuan rumah dan insya-Allah penyertaan dari 14 buah negeri dengan keseluruhan kontinjen melebihi 300 orang akan berkampung di bumi Adat Perpatih ini dengan cerianya,” katanya.

MAJLIS Pelancaran Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jakim Ruslan Said di Seremban. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd. Zaidi Ramli.

Ihtifal KAFA merupakan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum dan latihan pengukuhan kepada murid-murid KAFA dalam menguasai kurikulum KAFA JAKIM berasaskan elemen kesenian dan kreativiti. 

Sebanyak enam acara dipertandingkan bagi kategori lelaki dan perempuan iaitu tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah al-Quran, khat, nasyid dan jawi.

Ruslan dalam pada itu menambah, hasil pengamatan sebelum ini, murid-murid KAFA yang menyertai program berkenaan mempunyai potensi membanggakan malah setanding dengan murid-murid yang berada dalam pendidikan arus perdana. 

“Realitinya program KAFA telah berjaya memberikan sumbangan yang besar dalam pembentukan sahsiah dan jati diri murid-murid dalam lingkungan usia tujuh hingga 12 tahun. 

“Hasil pengajaran dan pembelajaran (PdP) KAFA, murid-murid boleh membaca al-Quran dan jawi dengan lancar serta menguasai penulisan jawi, selain amalan serta penghayatan cara hidup Islam yang kukuh

“Tidak hairanlah KAFA menjadi pilihan utama ibu bapa untuk anak-anak mereka meneruskan pembelajaran selepas tamatnya sesi persekolahan di pendidikan arus perdana,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya