Mengaku salah 32 tuduhan rogol anak tiri

Mengaku salah 32 tuduhan rogol anak tiri

Lelaki yang mengaku salah terhadap 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks terhadap anak tirinya dibawa keluar dari bangunan Mahkamah Sesyen, Melaka, semalam. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pengajar kelas renang mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap kesemua 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 37 tahun membuat pengakuan tersebut dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah kemudian me­netapkan 15 Mei ini untuk menjatuhkan hukuman dan meneliti fakta kes tambahan selain tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin bagi melindungi mang­sa serta menjamin kehadiran.

Terdahulu, tertuduh menga­ku bersalah terhadap 11 pertuduhan merogol anak tirinya yang kini berusia 16 tahun.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan dibawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan kerana merogol mangsa setelah usianya mencecah 16 tahun.

Tertuduh turut mengaku bersalah atas lapan pertuduhan dibawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan atas pertuduhan melakukan seks menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Sementara itu, tertuduh mengaku bersalah atas 12 pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dipenjara 20 tahun serta sebatan kerana me­lakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berkenaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah dalam daerah Jasin antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan secara berasi­ngan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N. Sivashangari tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon tarikh hukuman lain sementara menunggu fakta lengkap hukuman.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan remaja perempuan yang hilang sejak 18 Mac lalu disyaki menjadi mangsa rogol bapa tiri.

Susulan itu, polis turut menahan ibu kandungnya selepas soal siasat mendapati, wanita berkenaan mengetahui tentang kejadian berkenaan.

Kisah remaja itu tular selepas ibunya menguar-uarkan kisah kehilangan anak sulungnya itu yang dilaporkan hilang dari rumah sebelum ditemui selamat di Kampar, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN