Masih trauma, percakapan ibu empat beradik belum dirakam - Polis - Utusan Malaysia

Masih trauma, percakapan ibu empat beradik belum dirakam – Polis

NABILA SEDU dan suaminya, Thein Ko Htut kelihatan sugul ketika menantikan proses bedah siasat jenazah empat anaknya di Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, kelmarin.

MUAR: Polis masih belum dapat merakam keterangan wanita yang kehilangan empat anaknya dalam kebakaran di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, wanita tersebut, Nabila Sedu, 31, masih trauma dan polis sukar untuk mendapatkan sebarang kenyataan daripadanya.

Walau bagaimanapun,  pihaknya telah selesai merakam percakapan bapa kepada empat kanak-kanak berkenaan, Thein Ko Htut, 30, hari ini.

“Kita baru selesai (rakam percakapan) bapa dia (empat beradik mangsa kebakaran), emak kanak-kanak (pula) masih trauma,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Raiz Mukhliz memaklumkan kesemua barang kes yang berkaitan termasuk bukti-bukti ditemui di lokasi kejadian telah dihantar oleh pegawai penyiasat ke Jabatan Kimia di Johor Bahru.

Rabu lalu, media melaporkan empat beradik maut selepas kediaman mereka di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, di sini terbakar.

Dalam kejadian pukul 7.49 malam itu, empat beradik,  Puteri Aisyah Thein Ko Htut, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan maut di dalam bilik air di bahagian dapur rumah tersebut. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN