KLUANG: Aksi seorang pemuda warga Pakistan melakukan ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal di Jalan Kota Tinggi- Kluang membawa padah apabila dia ditahan dan diberi ‘surat cinta’ oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh berkata, video memaparkan lelaki berusia 22 tahun menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya itu dikesan pihaknya selepas tular dalam media sosial.
Suspek yang bekerja sebagai pemotong rumput telah disaman kerana tidak mempunyai lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Satu kiriman video dari Facebook ‘Kluang paranormal research’ dikesan memaparkan seorang lelaki Pakistan menunggang sebuah motosikal jenis SYM VF3i melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal.
“Anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kluang telah melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu pada pukul 6.45 petang, semalam” katanya ketika dihubungi hari ini.
Motosikal yang digunakan suspek turut dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif. Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula hari ini,” katanya. – UTUSAN