Lelaki mengaku salah cederakan isteri - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku salah cederakan isteri

S. Ragubalan (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini bagi didakwa atas kesalahan mendatangkan kecederaan kepada isterinya di Tampin pada 24 April lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini bagi dituduh atas kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya pada 24 April lalu.

Tertuduh, S. Ragubalan, 46, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.

Berdasarkan pertuduhan, Ragubalan pada 24 April lalu kira-kira pukul 9.15 pagi di Taman Molek, Gemas, Tampin dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berusia 41 tahun.

Ia dengan cara menumbuk pada bahagian muka dan menghantuk kepala isterinya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan kepada bahagian muka dan dahi, bengkak pada bahagian belakang kepala dan sakit pada bahagian tengkuk.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tsu Sheng dalam hujahannya memohon sebarang jaminan diberikan berikutan tertuduh masih tidak serik melakukan kesalahan sama ke atas mangsa yang sama.

“Tertuduh pernah dikenakan hukuman penjara selama sehari dan denda sebanyak RM1,500 atas kesalahan yang sama pada November tahun lalu,” katanya.

Ragubalan dalam rayuannya memohon jaminan diberikan berikutan dia baharu sahaja dua bulan bekerja selain mempunyai sakit kencing manis. Saiful kemudiannya mengarahkan pengurusan kes disebut semula di Mahkamah Majistret Tampin pada 8 Mei ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN