MELAKA: Konsep kerajaan perpaduan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di landasan betul dan diterima oleh rakyat di seluruh negara.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata, Anwar sangat komited dan berusaha sedaya upaya memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, usaha itu dapat dilihat apabila Perdana Menteri mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2023 kepada pegawai perkhidmatan awam dan pesara kerajaan diawalkan dari 17 April kepada 14 April lalu.
“Ini adalah petunjuk bahawa sekarang ini kerajaan perpaduan berada di landasan yang betul. Kita akan terus bekerja membantu rakyat, mengembalikan maruah negara dan mengembalikan ekonomi negara.
“Kita harap sentimen seperti ini terus dihayati dan diamalkan oleh rakyat hingga ke peringkat akar umbi. Ini amat penting kerana kita kemukakan gagasan dan Perdana Menteri telah tunjukkan kepemimpinan parti-parti yang lain dengan mewujudkan Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2 serta pelantikan menteri Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Butik Rakyat Rahmah 4.0 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RUTC) Klebang Besar, Pulau Gadong di sini, kelmarin. – UTUSAN